
KOTA BHARU: Agenda kebajikan demi kesejahteraan rakyat terus dipertahan PAS sejak mengambil alih tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun akhir 1990.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Mohamed berkata, kerajaan negeri meneruskan pelbagai inisiatif dan bantuan kepada rakyat.
Katanya, bantuan tersebut tetap diteruskan biarpun jumlah peruntukan semakin meningkat dan bilangan penerima bertambah setiap tahun.
“Kerajaan negeri sebelum ini mengumum peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan program kebajikan dan kesejahteraan rakyat tahun ini.
“Selain itu kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM6.3 juta bagi melaksanakan Skim Beras Al-It’am membabitkan 300 penerima di setiap DUN di Kelantan,” katanya pada kenyataan di Facebooknya semalam.
Sebelum itu beliau menyampaikan Bantuan Sosioekonomi untuk armalah di DUN Temangan.
Bantuan yang diberi termasuk mesin jahit, mesin pengadun, khemah, gerai jualan, acuan kuih muih, pemanas makanan, kerusi dan meja.
Manakala pasangan pengantin menerima Skim Bantuan Az-Ziwaaj.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, sebanyak RM3 juta diperuntuk bagi melaksanakan Skim Bantuan Gerbang Az-Ziwaaj setahun.
Menurutnya juga bantuan sosioekonomi bagi membolehkan rakyat mengembangkan perniagaan bagi meningkatkan peluang ekonomi. – HARAKAHDAILY 12/6/2024











