
NIBONG TEBAL: PERIKATAN NASIONAL (PN) memilih jalan demokrasi yang mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara untuk merubah kerajaan mahupun mengisi kekosongan di satu-satu kerusi.
Ketua Penerangan PN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, ia berbeza dengan tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan musuh politik, seolah-olah PN adalah kumpulan pelampau atau golongan ekstremis.
“Senjata kita bukan parang bukan pedang. Tetapi senjata yang akan kita gunakan adalah fakta dan ilmu,” ujar beliau pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) PN N.20 DUN Sungai Bakap di Pejabat PAS Nibong Tebal, di sini malam tadi.
Seru beliau, pengundi perlu terus memastikan kerusi DUN itu kekal dipertahankan kepada PN dalam meneruskan legasi kepimpinan ADUN Sungai Bakap, Almarhum Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Katanya, Almarhum telah menjadi milik seluruh penduduk di situ kerana dikenali semasa hayatnya atas perkhidmatan, kebajikan, pertolongan dan sentiasa menyantuni dan pedulikan hal ehwal rakyat.
“Ketika saat beliau mengalami kesakitan itu, beliau berada dalam program bersama rakyat sehinggalah dibawa ke pusat rawatan untuk mendapatkan rawatan. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan beliau berkhidmat untuk rakyat,” ujarnya.
Ketua Pembangkang DUN Selangor ini dalam ucapannya itu turut membidas Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH)-DAP yang disifatkannya tidak peduli dan prihatin masalah rakyat.
Tempelaknya, kerajaan yang mengangkat jenama ‘Madani’ itu semakin hari semakin zalim dan menyebabkan rakyat berdepan kos sara hidup, inflasi dan kekurangan peluang pekerjaan serta para pelabur yang meninggalkan negara ini.
Menurut beliau, ketidakyakinan rakyat dan pihak lain kepada kerajaan ini adalah kerana tidak ada manfaat yang dibawa untuk negara, sebaliknya asyik mendabik dada mereka paling bersih, sedangkan terdedah pemimpinnya kepada rasuah.
Menyentuh mengenai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, beliau menyatakan bahawa pemimpin berasal dari negeri tersebut telah ditolak di kerusi tradisi diwakili partinya PKR iaitu di Parlimen Permatang Pauh.
Malah tegas Azmin, kuatnya penolakan tersebut diisyaratkan dengan kemenangan turut diraih PN di tiga kerusi DUN dalam Parlimen tersebut iaitu iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.
Maka kata beliau, sekiranya pemimpin dan parti tersebut telah ditolak di tempat mereka sendiri, maka tiada sebab juga untuk pengundi Sungai Bakap memberi sokongan kepada parti gabungan tersebut dalam PRK nanti. – HARAKAHDAILY 9/6/2024











