
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kelantan wajar menjadi contoh terbaik soal perpaduan kerana berjaya mempamerkan semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum.
Katanya, dasar Membangun Bersama Islam yang diterajui kepimpinan kerajaan negeri, telah meneruskan sikap harmoni pelbagai kaum sebagaimana yang menjadi amalan tradisi sejak sekian lama.
Katanya, masyarakat Cina, Siam dan India di Kelantan hidup aman sejak sekian lama, pada masa yang sama mereka mengamalkan kebudayaan dan kesenian orang Melayu.
“Wayang kulit yang menjadi permainan tradisi orang Melayu, turut dipersembahkan kaum Cina dan India, begitu juga dikir barat turut dipersembahkan orang Cina dan Siam,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan 2024, di Dewan Jubli Perak, hari ini. Beliau mewakili Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nasruddin Daud.
Majlis berkenaan anjuran Kementerian Perpaduan Negara bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kelantan. Hadir sama Ketua Setiausaha Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof.
Fadzli seterusnya berkata, perpaduan antara masyarakat merupakan sesuatu yang amat penting.
Katanya, perpaduan itu sekiranya tidak diambil perhatian, ia boleh memberi kesan kepada aspek keselamatan negara, kemampanan ekonomi dan keunikan budaya.
“Jika negara dalam keadaan tiada keharmonian dan kesejahteraan antara masyarakat, mana mungkin kita boleh melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang stabil.
“Justeru nikmat keamanan yang dianugerahkan kepada kita semua perlulah disyukuri dan dijaga oleh semua pihak,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, sentiasa menjadikan agenda perpaduan terus diperkasakan.
Tambahnya, dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program yang disusun melalui Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) dan Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA), perpaduan masyarakat di negeri ini semakin utuh. – HARAKAHDAILY 9/6/2024











