‘Pemuda Mesti Menang’ bukan sekadar slogan

- Advertisement -

PAPAR: Tema ‘Pemuda Mesti Menang’ yang diangkat pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah ke-37 bukanlah sekadar slogan semata-mata tetapi tindakan yang perlu diambil perhatian.

- Advertisement -

Ketuanya, Hendri Hamsah berkata, ia adalah seruan untuk bertindak, refleksi atas tanggungjawab yang dipikul dan penegasan komitmen pemuda terhadap masa depan PAS di negeri Sabah.

Jelasnya, tema itu dipilih kerana pemuda perlu memimpin perubahan demi masa depan politik PAS di negeri ini yang bergantung kepada tindakan dan keputusan pemuda.

“Kemenangan kita adalah tentang memenangi hati rakyat, membudayakan Politik Matang dan Sejahtera dan membina masa depan yang berteraskan keadilan dan mengutamakan kedamaian khususnya di Sabah.

“Keadaan politik yang tidak menentu telah memberi kesan kepada pentadbiran negeri yang tidak stabil.

“Sebagai sebahagian daripada kerajaan campuran ketika ini, sangat penting bagi kita, terutamanya pemuda PAS, untuk menunjukkan bahawa kita memiliki kekuatan dan keyakinan ahli untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” ujarnya sewaktu menyampaikan ucaptama pada muktamar itu di sini, semalam.

Beliau juga menyeru agar PAS Sabah mesti menjadi suara yang penting dalam kerajaan, mampu membawa perubahan yang substantif dan mengukuhkan kedudukan PAS sebagai parti yang boleh dipercayai dan dihormati.

Tambahnya, ini bukan sekadar untuk kejayaan politik tetapi untuk memastikan nilai-nilai dan prinsip yang PAS perjuangkan mendapat tempat dalam agenda pemerintahan. – HARAKAHDAILY 9/6/2024

- Advertisement -