
NIBONG TEBAL: Kerajaan Madani mempunyai Menteri yang sombong, berlagak, bongkak dan angkuh sehingga tidak boleh ditegur, termasuk merasakan diri sendiri cerdik tetapi menganggap rakyat lain semuanya bodoh.
Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sedangkan mereka itu sudah setahun lebih menjadi kerajaan dan semua jentera dan kepakaran berada dengan kerajaan.
“Hangpa (pemimpin politik) belajarlah kat depa (pegawai kerajaan). Masalah dia hangpa sombong. Pegawai kerajaan hangpa tak mahu pakai. Hangpa anggap depa ni tak tahu apa. Hangpa suruh orang cerdik (para pegawai kerajaan) ikut (politik) hangpa. Masalah hangpa itu!
“Saya jadi Menteri Besar, (penjawat awam) yang ada kepakaran apapun dalam agensi dan jabatan kerajaan, dia (dipersilakan) duk (berada) depan, saya duk belakang tak apa. Apa yang saya tak tahu saya tanya dia. Itu (cara) jadi kerajaan.
“Dia (pegawai kerajaan) itu (ada yang) dilatih 30 tahun dalam bidang itu. Dia ada kemahiran, ada kepakaran, dia kena ajar kita, baru betul,” bidasnya menyatakan punca masalah negara dan permainan politik tersebut.
Beliau membangkitkan perkara tersebut semasa berucap pada Pelancaran Jentera PN Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap di pekarangan Pejabat PAS Kawasan Nibong Tebal, di sini malam tadi.
Lebih buruk katanya, apabila rakyat menyuarakan sesuatu, tetapi apabila Menteri tidak dapat menerima teguran atau pertanyaan itu secara terbuka, maka status dimuat naik di media sosial tersebut dipadamkan atau akaunnya dihilangkan.
ADUN Jeneri itu dalam ceramah tersebut menegaskan, selaku kerajaan untuk menguatkuasakan satu polisi, dasar atau undang-undang baharu, perlulah memberi justifikasi supaya rakyat faham dan boleh terima.
“Hat ni yang tak mampu, depa mandul. Mandul untuk memberikan justifikasi yang munasabah supaya rakyat faham. Hat itu depa tak boleh buat. Sebab itu orang marah, orang tanya dia padam. Habis itu, (apa ertinya) hang duduk ajar rakyat Malaysia ini jadi cerdik?
“Buka sekolah, buka universiti, buka kolej, pi buat Master, buat PhD, jadi cerdik habis. Puak ini (rakyat) tanya hang tak boleh jawab, hang padam (status muat naik di media sosial). Laa…. Kerajaan apa jenis ni?” bidasnya.
Kerana menurut beliau, rakyat zaman ini rata-ratanya bijak pandai dan celik maklumat di mana mahukan serta menuntut mempunyai pemimpin yang lebih pandai daripada mereka dalam banyak perkara.
Oleh itu Menteri katanya, mestilah boleh memberi naratif dan penjelasan atau alasan munasabah yang boleh diterima serta diikuti oleh rakyat, termasuk tidak merasa diri sendiri cerdik, tetapi rakyat lainnya dianggap bodoh.
Sanusi secara khusus mengecam Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang mendakwa kononnya singgah di Sungai Bakap secara kebetulan sahaja sempena kedatangan ke Pulau Pinang bagi urusan lain.
“Ingat orang bodohkah? Hang mai (kamu datang) itu nak tengok tempat pilihan raya. Hat (urusan) lain itu (yang) sambilan. Hang jangan ‘kecoh’ (tipu) orang, orang tahu. Ni masalah depa ni. Depa ingat orang tak tahu? Bila hangpa nak cerdik ni?” bidasnya.
Beliau menggesa Fahmi selaku Menteri Komunikasi supaya menjadi ‘jantan’ dan bukannya ‘pondan’ dalam memberikan penjelasan untuk memahamkan rakyat, serta tidak menyekat kebebasan media membuat liputan.
Dedahnya yang juga Menteri Besar Kedah, media perdana iaitu TV3 dan RTM sudah lama tidak hadir ke sidang media rasmi beliau kerana terpaksa mengikut naratif dan tapisan yang hanya menguntungkan ‘tauke’ mereka tersebut.
“Kalau menyiarkan hal-hal kerajaan negeri pun tidak sanggup dilakukan, (jadi) apakah tujuan mereka datang (ke program politik) pada malam ini? Selain daripada untuk mengutip berita-berita untuk diputar? Sesuai dengan selera pondan mereka?” tempelaknya.
Sanusi secara sinis mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memecat Menteri seperti itu, namun merasakan pemimpin tersebut tidak akan berbuat demikian kerana hanya individu seperti itu yang dimiliki kerajaannya. – HARAKAHDAILY 9/6/2024











