PN disekat liputan media, banyak medium ‘hilang’

- Advertisement -

GOMBAK: Perikatan Nasional (PN) telah dinafikan daripada mendapat liputan media yang wajar terutama berkenaan kejayaan-kejayaan Ahli Parlimen, ADUN dan kerajaan negeri di bawahnya.

Bahkan media juga telah dirangkakerjakan dengan arahan untuk memberi gambaran buruk dan mencari-cari salah PN, demikian menurut Pengarah Jabatan Penerangan PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar.

- Advertisement -

Beliau yakin rakyat menyedari pihak yang mengarahkan untuk media berbuat demikian hinggakan banyak isu dibawa oleh PN, tetapi sebaliknya dilihat tidak membawa isu ke tengah masyarakat hari ini.

“Sedangkan perkataan kita, kata-kata kita dibisukan. Hasil daripada kuasa yang dijarak. Hasil daripada tatakelola yang dulu mereka perjuangkan tapi hari ni telah dibuang ke laut,” bidas beliau.

Perkara tersebut dinyatakannya ketika berucap pada Ceramah Isu Semasa sempena Jelajah Selamatkan Malaysia yang membawa tajuk ‘Tatakelola atau Tatakelaut’ di Kompleks PAS DUN Sungai Tua, di sini semalam.

Menurut beliau, ketika sama ruang sebaran maklumat dimiliki oleh PN pula berdepan sekatan sepertimana dialami oleh laman Facebook PAS Pusat terutama kandungan melibatkan Palestin dan Israel.

Malah beritahunya, laman Facebook Harakahdaily yang mempunyai lebih 1.4 juta pengikut dan menjadi medium utama penyampaian berita-berita semasa juga telah dihilangkan terus oleh pihak tertentu.

Pun demikian katanya, pihak beliau telah mempersiapkan beberapa alternatif dalam mendepani sekatan-sekatan seumpama menerusi pelbagai pendekatan dalam memastikan maklumat tetap sampai kepada masyarakat.

“Itulah hakikat tatakelola yang menjadi zikir semasa mereka menjadi pembangkang. Mereka menafikan, menolak, memperkecilkan, menidakkan apa juga kerajaan-kerajaan sebelum ini buat.

“Sama ada Kerajaan Barisan Nasional ataupun Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini. Itulah hakikat yang sedang dihadapi oleh rakyat. Hari ini rakyat mencari pilihan, mencari tempat bergantung.

“Tetapi tempat bergantung yang ada pada hari ini, sangat-sangat goyang sehingga boleh bagi gelaran mereka ini tak boleh diharap. Bukan kita tak tahu, apa laungan sama ada secara mulut, lawan secara dokumen dalam manifesto-manifesto mereka.

“Semua yang dicanang, semuanya tak buat. Lebih menakutkan, apa benda yang mereka larang, mereka cegah, mereka lawan ketika mereka menjadi pembangkang. Itulah yang mereka buat sekarang,” tempelaknya.

Nadzir turut menjangkakan suhu politik negara akan menjadi lebih panas selepas ini setelah beberapa kerusi Parlimen dan DUN kembali dipertaruhkan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang mungkin diadakan. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

- Advertisement -