
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak rakyat menyokong usaha mengangkat martabat negeri dan memupuk perpaduan.
Suhubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat negeri ini yang hadir memberikan sokongan sempena majlis perarakan dan pertandingan kenderaan berhias, malam tadi.
“Alhamdulillah, kita telah menyaksikan satu acara yang penuh gilang-gemilang dan memukau, iaitu Perarakan dan Pertandingan Kenderaan Berhias sempena sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
“Kehadiran dan sokongan padu anda semua telah menjadikan acara ini satu kejayaan besar dan kenangan manis buat kita semua,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Katanya, kenderaan berhias dengan pelbagai tema kebudayaan dan keindahan Terengganu berjaya menarik perhatian dan memeriahkan suasana malam tadi.
Tambahnya, persembahan kebudayaan serta muzik tradisional turut menambahkan lagi keindahan acara, manakala gerai makanan dan pameran kraftangan mendapat sambutan yang hangat dari pengunjung.
Justeru, beliau mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program itu.
Beliau menambah, jasa dan usaha semua amatlah dihargai.
“Juga kepada rakyat Terengganu yang hadir memberikan sokongan, kehadiran anda semua membuktikan semangat perpaduan dan kecintaan kita kepada negeri ini.
“Dengan izin Allah SWT, semoga kita terus diberkati dan dapat meraikan lebih banyak acara yang membawa kegembiraan dan kesejahteraan kepada semua.

“Marilah kita terus bersama-sama menyokong usaha-usaha yang mengangkat martabat negeri Terengganu dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Sekali lagi, tahniah dan terima kasih kepada semua. Semoga kita bertemu lagi di acara-acara yang akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2024











