Melaka bangga Fan Bingbing, tidak Hang Tuah?

- Advertisement -

AYER KEROH: Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) seharusnya menampilkan pengisian berpaksi kepada mengangkat sejarah negeri itu sewaktu era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, ia sesuai dengan sifat semulajadi manusia untuk mengenali budaya, sejarah dan ketamadunan sesuatu negara dan bangsa bila melancong ke negara lain.

“Kebanyakan kita melancong ke luar negara seperti China, Eropah dan lain-lain bukanlah untuk melihat budaya kita diangkat di sana. Tetapi melihat budaya mereka dan sejarah ketemadunan negara mereka.

“Kita ke negara China pasti dibawa melawat dan melihat sejarah mereka seperti Tembok Besar, istana-istana zaman dinasti dan maharaja dan berbagai-bagai lagi,” ujarnya.

Kerana itu menurut beliau, tindakan Kerajaan Negeri Melaka melantik Fan Bingbing, seorang artis antarabangsa berasal dari negara China adalah sesuatu yang kurang tepat berdasarkan prinsip itu.

“Jadi adalah lebih baik mengangkat anak Melayu untuk menjadi Duta Pelancongan daripada seorang artis dari China yang mempunyai masalah dengan negaranya. Yang paling penting pastinya ongkosnya jauh lebih murah,” pertikainya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau sebagai menyokong kenyataan Ketua Penerangan PAS Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail atas pembantahan pelantikan artis tersebut.

“Pada pandangan saya adalah lebih baik kita mengangkat artis tempatan yang bersopan santun berbudaya Timur,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka.

Menurut beliau lagi, ada baiknya Kerajaan Melaka mengangkat kembali sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang berpaksikan kepada Islam.

Malah Melaka ujarnya, menjadi pusat dakwah dan berperanan besar dalam mengembangkan Islam ke seluruh Nusantara melalui Dakwah dan Perniagaan.

“Sejarah ini telah ditutup dan dihapuskan oleh penjajah bermula dari tahun 1511 oleh Portugis hinggalah Tanah Melayu Merdeka pada tahun 1957 daripada Inggeris. Bagaimana kesan sejarah Hang Tuah dicatatkan di Okinawa, di Goa India, di Istanbul, di Gersik Patani dan banyak lagi.

“Cogankata ‘Bijak laksana Tuah dan berani laksana Jebat’ perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal untuk tatapan rakyat Melaka dan Malaysia sekali gus menarik pelancong luar,” katanya.

Beliau dalam kenyataan itu turut menyokong penuh sekiranya Melaka melakukan usaha untuk membina replika Kapal Mendam Berahi di mana nakhodanya adalah Hang Tuah dan bukannya membina replika kapal kayu China.

“Pernahkah kita bertanya siapakah Hang Tuah yang sebenarnya? Mengapa Universiti Pelayaran di Surabaya yang dimiliki oleh Tentera Laut Indonesia diberi nama Universitas Hang Tuah?

“Malah ada beberapa lagi sekolah Pelayaran dan Sekolah Dasar di Indonesia juga diberi nama Hang Tuah. Sedangkan kita di Melaka cuma ada Sekolah Menengah Tun Tuah.

“Kunjungan saya ke Tarakan Indonesia saya melihat Taman Didikan Kanak-anak juga namanya Hang Tuah; Dataran Hang Tuah dan Jalan Hang Tuah ada di Jakarta. Bukan itu sahaja di Riau juga jalan-jalan utama dinamakan dengan nama Hang Tuah.

“Lagu berjudul Hang Tuah ciptaan Husni Thamrin seorang pujangga berasal dari Siak Indapura, Riau, Indonesia telah mengangkat dan menjulang nama Hang Tuah di Tanah Seberang,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -