387,631 pengunjung datang ke Kelantan melalui Thailand

Datuk Kamarudin Md Nor
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dalam tempoh Januari sehingga April lepas seramai 387,631 pengunjung datang ke Kelantan melalui tiga pintu di sempadan Thailand.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pintu masuk terbabit iaitu Rantau Panjang, Pengkalan Kubur dan Bukit Bunga, Tanah Merah.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 245,017 pengunjung atau 62 peratus melalui pintu sempadan di Rantau Panjang.

“Ia menggambarkan pintu sempadan di Rantau Panjang menjadi tumpuan utama pelancong yang datang dari Thailand,” katanya menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) pada sidang DUN hari ini.

Menurutnya juga pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong bertandang ke Kelantan.

Kata beliau, antaranya Majlis Daerah Pasir Mas menganjur Food Festival di Pasir Mas pada April lepas dan mendapat sambutan menggalakkan.

“Manakala pada Ogos hadapan akan diadakan Ekspo Tani di Pasir Mas yang dijangka menarik lebih ramai pengunjung ke jajahan itu termasuk Rantau Panjang,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan NGO boleh menganjurkan pelbagai program di Rantau Panjang bagi membawa impak kepada sektor pelancongan di pekan tersebut.

Kata beliau juga kajian akan dibuat bagi memastikan kawasan bebas cukai di Rantau Panjang disediakan tempat yang khusus tanpa melibatkan kawasan kediaman penduduk.

“Selain itu saya difahamkan Kementerian Pengangkutan menerima permohonan daripada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi menghidupkan semula perkhidmatan kereta api api ke Rantau Panjang.

“Kajian tersebut dibuat kementerian boleh membawa impak kepada penduduk tempatan dan sektor pelancongan,” tambahnya.

Sementara itu anggota Exco Hilmi Abdullah berkata, cadangan diwujudkan Majlis Daerah Rantau Panjang secara berasingan daripada Majlis Daerah Pasir Mas akan dibuat kajian lebih mendalam. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

- Advertisement -