Kelantan rakam sembah tahniah Hari Keputeraan Agong

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda.

- Advertisement -

Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud turut mendoakan semoga Duli Tuanku serta seluruh kerabat diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan penuh kedaulatan.

“Daulat Tuanku, patik merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 3 Jun,” katanya pada catatan di Facebook hari ini.

Sultan Johor Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 30 Januari lalu.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut mengangkat sumpah Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan turut merafak sembah tahniah kepada Sultan Ibrahim serta mendoakan baginda sentiasa sihat sejahtera.

“Patik sekalian merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 3 Jun 2024 bersama 25 Zulkaedah 1445 Hijrah.

“Patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan KDYMM SPB Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.

“Daulat Tuanku!” katanya pada kenyataan di Facebook. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

- Advertisement -