Rumah Budi Lajnah Kebajikan sampai di Padang Terap

- Advertisement -

PADANG TERAP: Pembinaan Rumah Budi di Kampung Bemban, di sini merupakan yang terbaik dan menepati pelan yang telah dirancang oleh Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSPP).

- Advertisement -

Pengerusi LKKSPP, Dr Rosni Adam memperakui demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui pada Majlis Perasmian Rumah Budi 2.0, di kampung tersebut di Naka, di sini hari ini.

ADUN Pedu, Mohd Radzi Mat Amin selaku Pengurus Projek Rumah Budi dipuji oleh Dr Rosni kerana berjaya menyiapkan rumah terbabit dalam tempoh tiga bulan.

“Sebelum ini kita dah bina Rumah Budi di Selangor, tetapi di Kedah  (Padang Terap) ini adalah yang terbaik. Projek berjalan mengikut pelan yang dirancang dan cepat.

“Sekiranya dalam tempoh tiga bulan boleh siap sebuah rumah, bermakna kita boleh sasar dua atau tiga buah rumah dalam setahun,” jelas beliau.

Bercakap mengenai kos, Dr Rosni berkata, pihaknya menyediakan kupon yang berharga sekeping RM5.00 dan diedarkan ke seluruh negara.

“Nampak macam style lamalah, edar kupon murah, tetapi ia lebih berkesan berbanding buat skim wakaf seperti RM100 atau sebagai yang selalu agak lambat untuk mendapat pulangan.

“Melalui kupon RM5.00 sekeping orang ramai boleh menderma setiap minggu kerana jumlahnya mampu untuk semua golongan,” tambah beliau.

Dalam pada itu Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial katanya, akan meneruskan perancangan membina Rumah Budi seterusnya di Pahang dan Melaka.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia itu juga berkongsi bahawa idea Rumah Budi itu tercetus setelah melihat kejayaan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar melaksanakannya di Tanjung Lumpur.

“Tetapi projek PJ Pahang tu buat di peringkat DUN, yang kita buat sasar peringkat nasional. Nanti kalau nak sambung peringkat DUN, kita serahlah kepada Lajnah Kebajikan Negeri dan Kawasan,” ujar beliau lagi.

Sementara berhubung kategori yang layak memohon Rumah Budi ini, kata beliau, pihaknya mempunyai panel untuk menilai kelayakan selain pemohon mestilah mempunyai tanah sendiri.

“Seperti penerima Rumah Budi 2.0 di Kampung Bemban ini, beliau merupakan ibu tunggal, mempunyai enam orang anak dan tapak rumah ini adalah tanah miliknya sendiri,” maklumnya.

Terdahulu gimik majlis serahan kunci rumah kepada pemiliknya, Azirah Abdullah disempurnakan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya. – HARAKAHDAILY 2/6/2024

- Advertisement -