
KOTA MELAKA: Pimpinan dan aktivis Pemuda PAS disaran agar menziarahi golongan as-Sabiqun yang sudah lama berjuang di dalam parti itu dengan penuh kesukaran.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada banyak perkara yang boleh diambil iktibar dari kisah perjuangan orang lama untuk memandu golongan muda menempuh era masa kini.
“Kepada anak muda khususnya pemuda-pemuda, dekati orang lama dalam parti. Pergi dengar, ziarah mereka. Buat kunjungan, ziarah mereka. Dengar kisah mereka, susah payah nak tegakkan Islam di Melaka ni.
“Perjuangan PAS di Melaka ni masya-Allah bukan mudah, untuk kita menang setakat hari ini, boleh mesyuarat di hotel begini, masya-Allah, ia satu perjuangan yang panjang,” ujarnya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyatakan demikian sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kota Melaka yang berlangsung di sebuah hotel, di sini malam tadi.
Tambah Ustaz Tuan Ibrahim, perjuangan PAS tidak pernah dihamparkan dengan permaidani merah dan telah melalui pelbagai fasa perjuangan dan ujian sehingga berada di ambang kemenangan seperti waktu ini.
“Muktamar PAS Pusat pernah buat di rumah banglo dua tingkat sahaja. Kita susah. Pilihan raya calon keluar duit sendiri. Poster calon, calon keluar duit sendiri. Setiap cawangan kita letakkan asas wajib sedia dalam minima RM5,000 setiap Cawangan untuk pilihan raya,” katanya.
Beliau turut mengimbau kisah Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis, Ustaz Kassim Yahya yang sudah menyertai lima pilihan raya dengan setiap kali pilihan raya beliau akan menjual sebidang tanah miliknya untuk perbelanjaan berkenaan.
Namun katanya, apabila ditawarkan oleh Presiden PAS, Dato’ Ustaz Fadzil Noor ketika itu untuk bertanding kali keenam, Ustaz Kassim akur tetapi akan terpaksa pula menjual satu-satunya tanah beliau yang masih tinggal iaitu tapak rumah pada masa itu sebagai belanja pilihan raya.
Kata Ustaz Tuan Ibrahim, beliau yang ketika itu mengendalikan proses rundingan tersebut diminta oleh Ustaz Kassim untuk menyampaikan perkara itu kepada Presiden PAS.
“Saya beritahu (pada Ustaz Fadzil), seperti yang saya kata Ustaz Kassim hanya ada tapak rumah saja. Kalau Ustaz suruh bertanding juga, dia setuju. Dia akan jual tapak rumah dia dan dia akan sewa balik rumah tu dengan tuan yang beli tanah dia tu.
“Akhirnya Ustaz Fadzil kata kalau begitu tak apa kita kecualikan (dari bertanding). Inilah PAS! Setiap kali pilihan raya tabung-tabung kita buka. Sebab tu kita bila kita memerintah kita kena ingat.
“(Bahawa) dalam kalangan penolong parti kita ada orang yang siang malam bekerja memenangkan PAS tanpa sebarang jawatan,” ujarnya dalam majlis perasmian yang didahului ucapan Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Sudin Nooh. – HARAKAHDAILY 2/6/2024











