
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan turut merakam ucapan Selamat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) kepada semua pengamal media di seluruh negara dan khususnya di Kelantan.
Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, HAWANA disambut bagi meraikan pengamal media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan jujur kepada masyarakat.
“Rasulullah SAW menekankan kepentingan bersifat benar dan jujur melalui hadis yang diriwayat oleh Abdullah bin Mas`ud RA, Nabi SAW bersabda:
“Maksudnya: Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan membawa kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur.
“Manakala kedustaan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta,” katanya pada kenyataan.
Sambutan HAWANA 2024 diadakan di Kuching, Sarawak mulai 25 Mei lepas.
Program itu disertai kira-kira 1,000 pengamal media dari 11 negara iaitu Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Vietnam, China, Korea Selatan dan Qatar.
Perhimpunan terbesar wartawan Malaysia itu dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak dan Bernama. – HARAKAHDAILY 29/5/2024











