
8 JULAI 2022 – Jumaat
Kami bersarapan pagi di Delight Lounge dalam kesejukan pagi. Siapa sangka negara Afrika sebegini boleh mencapai suhu 11 darjah celcius pada malam dan pagi hari? Hingga ke saat akhir penerbangan kami ke Afrika tempoh hari, aku sendiri masih tidak percaya ‘tahap kesejukan’ Blantyre ini.
Kerana inilah masalahnya isu stereotaip dalam minda manusia. Seringkali apabila digambarkan Afrika kepada masyarakat dunia, akan ditonjolkan padang rumput luas, gurun pasir, singa, dubuk, zebra, manusia yang kurus, kemarau dan apa jua imej yang seakan akan berbicara ‘Afrika itu panas’.
Kini kami terpana. Hirup sahajalah kopi dalam kesejukan pagi. Hotel ini menyediakan sarapan serba ringkas dengan roti keping untuk dibakar dan dimakan bersama marjerin, jam dan peanut butter.
Ada juga sejenis kuih tempatan yang seakan akan mini cha kueh tetapi teksturnya lebih keras. Pisang dan tangerin turut dihidangkan bersama cornflakes dan susu panas. Ringkas tetapi cukup untuk mengisi perut kami pagi ini. Alhamdulillah.
Selepas siap berkemas untuk keluar, kami mengadakan perbincangan bersama IMWU berkait jumlah akhir binatang korban yang kami perlukan, harga lembu dan kambing, lokasi sembelihan dan tarikh-tarikh yang berkaitan.
Pok Mid memintaku menulis sedikit perjanjian ringkas antara Amal Kelantan dan IMWU untuk ditandatangani lalu menyerahkan deposit USD5,000 untuk bayaran awal lembu yang akan dikorbankan nanti. Sejumlah 46 ekor lembu telah dikirimkan oleh rakyat Malaysia untuk diagihkan dagingnya nanti kepada umat Islam miskin Malawi.
Usai sahaja perbincangan dan penyerahan wang, termasuk kami mengirimkan beberapa USD100 untuk mereka tukar kepada mata wang tempatan iaitu Kwacha.
Jika menukar wang di bank atau pengurup wang berdaftar, kadar tukaran adalah USD1,100 iaitu USD1 bersamaan 1100 Kwacha tetapi jika berurusan dengan pengurup ‘black market’ kami akan dapat sekitar 1300 (1.3) Kwacha untuk nilai USD1. Lebih lumayan!
Cuma, ia perlu ditukar oleh anggota IMWU dan bukan oleh kami sendiri yang terbuka untuk menjadi mangsa penipuan dan manipulasi. Apatah lagi jika not di bawah USD100, maka mereka akan menggunakan kadar 1.2 sahaja.
Sebelum tengah hari, kami dijemput ke pusat latihan menjahit yang diuruskan oleh IMWU di mana lebih 100 orang kaum ibu, kebanyakannya terdiri daripada keluarga miskin, mendapat latihan menjahit agar mereka mampu berdikari akhirnya.
Ilmu menjahit paling kurang mampu membantu suami menambah pendapatan ataupun ia boleh membantu kaum ibu ini menggunakan kain kain perca untuk menjahit pakaian bagi menutup tubuh anak-anak mereka sendiri.
Di samping belajar menjahit, IMWU secara tidak langsung mengajari mereka ilmu hadis, Al Quran, solat dan lain lain ilmu Fiqh. Itulah ‘mahalnya’ usaha tidak seberapa, dengan kemampuan yang terbatas oleh IMWU ini.
Melihat kepada keadaan kelas yang amat dhaif, dengan tiadanya lampu, kipas semuanya rosak, atap bumbung separa bocor, meja mesin jahit teramat buruk, kondisi kelas latihan amat sempit membuatkan kami terfikir, betapa bertuahnya umat Islam di Kelantan khasnya dan Malaysia amnya.
Itu belum dikira lagi jumlah mesin jahit yang dahulu berfungsi lebih 40 buah, namun kini tidak sampai 20 buah mampu hidup dan dikongsi oleh ratusan ibu untuk mendapat skill menjahit. Kesian dan sedih.
Mereka ini semua, di sebalik baju lusuh, dan berbau peluh, tidak lekang wajahnya dengan senyuman. Nasyid dan nyanyian kegembiraan menyambut kedatangan kami serta menyulami juga sesi ucapan antara Presiden IMWU, wakil kaum ibu dan ucapan aku sendiri yang diminta Pok Mid sebagai mewakili Yayasan Amal.
Bait bait lagunya terdengar harmoni dan indah. Biarpun aku tidak faham butir liriknya apa, tetapi amat enjoy. Yang aku perasan adalah perkataan ‘ujaanah’ yang diulang puluhan kali.
Seketika kemudian aku lihat Kak Ti menangis dan mengelap kolam matanya berkali-kali. Sempat ku rakam momen hibanya itu. Dan lirik yang tidak kufahami itu semakin mendalam mengusik lubuk perasaan hingga aku sendiri bergenang air mata.
Ah, indahnya persaudaraan Islam. Di saat kita semua merasai setiap titis kemewahan duniawi, masih wujud ramai orang Islam yang miskin melarat sebegini.
Sewaktu bangun berucap, aku perkenalkan diri, “Assalamualaikum, my name is Nazman. I am your brother in Islam, we are the Yayasan Amal Malaysia volunteers from Kelantan” dan lain-lain ucapan aluan serta terima kasih kami ke atas sambutan hangat mereka.
Juga aku kongsikan bahawa di Malaysia, di Kelantan wujud sebuah pantai yang amat cantik, dengan pepasir putih, air yang jernih pepohon kelapa melambai, dan uniknya nama pantai itu adalah Pantai Melawi!
Terkejut dan terpesona mereka dengan ceritaku itu, malahan mereka bertepuk tangan. Takjub barangkali dengan wujudnya sebuah pantai dengan nama negara mereka.
Ia lebih menarik kerana negara Malawi ini tiada pantai kerana tiada laut. Mereka adalah negara ‘landlock’ yang dikelilingi daratan dengan sempadan negara Tanzania, Mozambique dan Zambia.
Jika ada pun ‘pantai’, ia sebenarnya adalah tebing sebuah tasik raksasa yang menempati hampir dua pertiga keluasan negaranya.
Tamat sahaja ucapanku, mereka menyambung lagi nyanyian merdu tadi. Aku kemudian bertanya kepada Kak Ti menangis tadi? Jawabnya, “Me tahu ko dok, lirik dia tu bermaksud, di sini kita bertemu dan di jannah nanti bertemu pula”.
Nah, patutlah Kak Ti menangis apabila memahami maksud sebenar ayat ayat yang diulang puluhan kali dalam nyanyian mereka. Dalam dan menusuk kalbu maksud sebenarnya.
Mengenang kembali perjalanan jauh kami dari Kelantan ke Malawi, memang pertemuan penuh ukhuwwah ini bukan semata mata kerana lembu korban, daging akikah, wakaf Al Quran, dana anak yatim, wakaf telaga dan lain-lain kebajikan yang kita kongsi, tetapi juga pertemuan ini akan lebih indah kiranya dapat berulang pula di syurga nanti!
Masjid Madinah Blantyre
Kami bergegas kemudiannya menuju ke Masjid Madina yang menjadi kebanggaan umat Islam Blantyre. Di sini kebanyakan jemaah adalah imigran luar seperti Pakistan, Arab, India dan lain-lain Asian.
Nikmat Islam kami rasai di mana pun berada, ukhuwwah Islamiah dan persamaan aqidah adalah suatu perkara yang cukup mahal.
Usai di Masjid, kami singgah sekejap untuk makan di KIPS, satu kedai umpama KFC, namun ia sebuah premis makan halal, dan rangkaiannya wujud di banyak lokasi dalam Malawi serta diusahakan oleh imigran luar. Rasanya warga Pakistan atau Turki. Makanannya sedap dan bercampur antara western dan rasa tempatan.
Petang itu kami mulakan menyembelih kambing akikah dahulu sebanyak 3 ekor. Satu di bawah seliaan Samiah dan tiga ekor lagi melalui Pok Mid. Pihak IMWU memilih rumah Sister Rabiah iaitu salah seorang ahli jawatankuasanya di Poly Village memandangkan kawasan itu adalah perumahan lama didiami oleh para staf politeknik.
Rumahnya ringkas tetapi kelihatan bersih, dengan kawasan halaman depan rumah dikelilingi pohonan bunga.
Manakala belakang rumah dipenuhi batas batas tanaman sayuran yang ditanam Muhammad Hanif, suami kepada Rabiah. Beliau merupakan seorang akauntan profesional yang memilih untuk bersara awal dalam bidang berkenaan.
Ia lebih gembira bercucuk tanam di belakang rumah dan dalam masa yang sama mengusahakan jualan benih pokok ‘mbawa’ ataupun African Mahogany. Ia adalah kayu keras gred paling bagus di sini sama seperti kayu cengal batu kalau di negara kita.
Alhamdulillah menjelang Maghrib, 4 ekor kambing selamat disembelih dan siap dilapah. Mereka memotong daging dan tulang kepada bahagian bahagian kecil untuk memudahkan urusan pembahagian kepada umat islam miskin berdekatan.
Malamnya kami dijemput makan di rumah Madam Syafina dalam kegelapan malam. Katanya memang biasa bandar Blantyre terputus bekalan elektrik. Lumrah dan hampir menjadi rutin harian.
Mereka memasak dalam kegelapan malam bertemankan cahaya pelita dan lampu suluh. Kami diminta berehat di ruang tamu menikmati kesejukan 11 darjah celcius malam Blantyre.
Di Malawi, hampir 95% penduduknya memasak menggunakan arang kayu. Kata mereka tong gas amat sukar diperolehi dan harganya terlalu mahal. Hanya hotel dan juga restoran besar yang memiliki dan memasak dengan dapur gas. Manakala majoriti rakyat termasuk rumah Syafina menggunakan dapur arang.
Teringat juga petang tadi di rumah Sister Rabiah, mereka memasak kuih samosa, juga menggunakan dapur arang, walaupun dia adalah pensyarah politeknik dan suaminya mantan akauntan yang kini menjadi usahawan tani. Dapur arang adalah pilihan yang ada bagi mereka semua.
Hampir sejam lebih, Syafina menjemput kami makan. Nasi putih yang wangi baunya dihidangkan bersama lauk kambing masak dengan resipi tempatan. Kami yang kelaparan sejak tengahari, makan dengan lahap.
Kalau mertua lalu depan muka pun, takkan berpaling dah. Sedap.
…bersambung Bahagian 5
NAZMAN CHE IBERAHIM
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan – HARAKAHDAILY 29/5/2024















