Calon tidak duduki SPM jejas pembangunan modal insan

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kegagalan 10,160 daripada 383,685 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menduduki peperiksaan merupakan cabaran besar kepada sistem pendidikan negara.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelbagai faktor yang menjadi penyumbang kepada situasi tersebut.

Oleh itu kata beliau bagi menyelesaikan masalah itu semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), guru dan ibu bapa perlu duduk semeja merungkai masalah terbabit.

“Kementerian, guru dan ibu bapa kena fikir langkah untuk menggalakkan pelajar menduduki peperiksaan kerana ia cukup penting untuk sektor pendidikan.

“Melalui peperiksaan kita dapat nilai seseorang pelajar. Jadi apabila tidak masuk peperiksaan satu kerugian kepada masa hadapan pelajar terbabit dan negara,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dilaporkan berkata, kementerian memandang serius jumlah ketidakhadiran pelajar menduduki peperiksaan dan ia akan ditangani secepat mungkin.

Wan Roslan juga berkata, isu tersebut bakal menjelaskan masa depan negara dan pembangunan modal insan.

“Ia akan memberi kesan kepada negara sebab kita nak melahirkan individu yang hebat seperti apa yang kita lakukan di Kelantan dengan mementingkan tarbiah,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2024

- Advertisement -