SPM 2023: 36 sekolah YIK dapat keputusan 100 peratus

- Advertisement -

KOTA BHARU: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (YIK) meningkat sebanyak 0.52 peratus berbanding 2022.

- Advertisement -

Pencapaian keputusan SPM 2023 sebanyak 96.66 peratus berbanding tahun 2022 sebanyak 96.14 peratus. Bilangan calon tahun lepas 5,486 orang berbanding 2022 (5,409 calon).

Sebanyak 36 daripada 81 sekolah YIK mendapat keputusan 100 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, seramai 67 pelajar mendapat keputusan cemerlang.

Katanya pelajar terbabit dari Maahad Kawalan, Maahad Pilihan, Maahad Kerajaan, Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Bantuan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah muncul sekolah terbaik dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.98 diikuti Maahad Sains Tok Guru (GPS 2.27) dan ketiga Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah (GPS 2.63).

“Bagi kategori Maaahd Pilihan pula, Maahad Muhammadi Pasir Pekan menduduki tempat pertama, diikuti Maahad Saniah Pasir Puteh dan Maahad Rahmaniah Kuala Krai,” katanya pada sidang media di Pejabat YIK petang ini.

Kategori Maahad Kerajaan pula disandang Maahad Syamsul Maarif (Perempuan), kedua Maahad Syamsul Maarif (Lelaki) dan ketiga Maahad Raudhah An Nazirin Jerimbong.

Bagi SMU (Arab) Bantuan tempat pertama Tarbiah Diniah Bunut Sarang Burung diikuti Tarbiah Diniah Tok Uban dan Meheliah Geting.

SMU (A) Tarbiah Islamiah Kuala Kajang menduduki tempat pertama kategori SABK, diikuti Darul Ulum Jedcok dan Tarbiah Islamiah Lepah di tempat ketiga.

Wan Roslan juga berkata, kejayaan itu membuktikan pelajar sekolah agama di bawah YIK terus cemerlang dalam akademik.

“Saya sebagai mewakili kerajaan negeri mengucap tahniah kepada semua pelajar cemerlang dan yang berjaya dalam peperiksaan ini.

“Terima kasih pada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung atas usaha memajukan sistem pendidikan di Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -