Kota Bharu bandar raya ke-16 terbaik di Asia Tenggara

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kota Bharu disenarai sebagai bandar raya ke-16 terbaik di Asia Tenggara dan berada pada kedudukan ke-433 peringkat dunia pada tahun 2024.

- Advertisement -

Penarafan tersebut hasil laporan dan bancian Oxford Economic Global Cities Index 2024, yang membuat kajian meliputi 1,000 bandar di seluruh dunia daripada 163 negara yang dinilai berdasarkan lima aspek utama.

Lima penilaian itu melibatkan ekonomi, sumber manusia, kualiti hidup, alam sekitar dan tadbir urus dengan 27 indikator pemarkahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, penarafan itu secara tidak langsung usaha membangunkan bandar Kota Bharu dalam pelbagai aspek mendapat pengiktirafan dunia.

Katanya, semoga pengiktirafan tersebut dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia berkunjung ke Kota Bharu bagi melihat bandar raya Islam dan merasai keunikan dan kelainannya.

“Saya percaya dengan siapnya projek infrastruktur pengangkutan utama termasuk naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bersambung dengan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama membolehkan Kota Bharu membaiki kedudukannya di tangga lebih baik.

“Dengan siapnya projek-projek mega tersebut bandar-bandar lain di Kelantan akan turut berpeluang untuk tersenarai dalam Oxford Economics Global Cities Index,” katanya di sini.

Sementara itu, New York berada pada kedudukan teratas di dunia diikuti London (2), San Jose (3), Tokyo (4), Melbourne (9), Sydney (16), Perth (23), Seoul (41), Singapore (42).

Sebanyak 50 bandar raya teratas didominasi bandar-bandar dari benua Amerika dan Eropah.

Di peringkat Asia Tenggara pula, Singapura mendahului menjadi bandar raya dengan indeks terbaik iaitu pada kedudukan ke-42 di dunia, Tempat kedua Kuala Lumpur (135) dan Bangkok (192).

Sejumlah 55 bandar raya di Asia Tenggara daripada 1,000 bandar di seluruh dunia tersenarai dalam ranking tersebut termasuk Kota Bharu yang berada pada ranking ke-16 (kedudukan 433 dunia) mendahului bandar Surabaya yang berada pada ranking ke-434. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -