Bandar Pintar 2030: Perlis fokus digital, cekap urus

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengumumkan bahawa Perlis kini sedang bergerak ke arah menjadi sebuah bandar pintar menjelang tahun 2030. 

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis angkat sumpah Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Perlis (MPK) yang baru dilantik di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Mohd Shukri menyampaikan ucapan tahniah kepada Affendi Rajini Kanth atas pelantikan sebagai YDP MPK dan menyatakan harapan agar lebih cemerlang, selari dengan pelaksanaan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

“Saya yakin, dengan adanya perbaharuan yang dirancang dan kerjasama erat antara pelbagai pihak, kita akan memastikan negeri ini lebih ceria dan berketerampilan untuk menghadapi cabaran Tahun Melawat Perlis serta tahun-tahun mendatang,” katanya.

Selain itu, beliau turut menegaskan pentingnya peranan MPK dalam memastikan Perlis terus berkembang dengan keindahan landskap, kebersihan yang terjaga dan kecekapan pengurusan.

Menurutnya, usaha itu juga selaras dengan persiapan menyambut Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada tahun 2025.

Sebagai langkah ke arah bandar pintar, Mohd Shukri menyatakan bahawa pendigitalan sistem pembayaran parkir sedang giat dilaksanakan. 

“Kami sedang menuju ke arah Bandar Pintar 2030, dan inisiatif ini akan diteruskan dengan pelbagai projek pendigitalan, termasuk sistem pembayaran parkir yang lebih efisien dan mudah,” tambahnya. 

Tempoh lantikan tersebut akan berkuat kuasa selama dua tahun. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -