
KOTA BHARU: Peletakan jawatan Timbalan Presiden Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Datuk Sr Zamri Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wan Mohd Zul Ikman, Ahad lepas kerana mahu memberi tumpuan pada tanggungjawab hakiki.
Peletakan jawatan itu tiada kaitan dengan isu yang berlegar di media sosial terutamanya masalah pembayaran gaji serta kekalahan dua perlawanan awal Kijang Emas itu dalam saingan Liga Super 2024/25.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, penyerahan notis peletakan jawatan Zamri dan Wan Mohd Zul sebagai prosedur biasa atas tanggungjawab mereka bagi melaksanakan tugasan hakiki yang lebih penting.
“Perancangan mereka untuk melepaskan jawatan dibuat sejak beberapa bulan lepas namun saya tidak benarkan sebab waktu itu urusan penjenamaan kelab perlu diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rozi juga berkata, mustahil kedua-dua tokoh terbabit melepaskan jawatan disebabkan dua perlawanan baru-baru ini.
Kata beliau, semua pihak kena akur mantan timbalan presiden dan CEO mempunyai tanggungjawab lain yang lebih besar.
“Bagaimanapun KDN FC mengakui peletakan jawatan mereka berdua satu kehilangan besar kepada skuad Kijang Emas.
“Ini kerana mereka berdua antara individu yang membangunkan Kelantan Darul Naim FC, namun kami kena hormati keputusan mereka untuk berundur,” katanya.
Beliau juga berkata, semua pemain dan staf KDN FC menerima gaji mengikut jadual.
Zamri merupakan Ketua Pegawai Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). – HARAKAHDAILY 21/5/2024











