ADUN BERSATU Perlis nyata taat setia parti

- Advertisement -

KANGAR: Kelima-lima ADUN BERSATU Perlis, termasuk tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebulat suara dan teguh setia bersama Perikatan Nasional (PN) Negeri.

- Advertisement -

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam kepimpinan tetapi apabila keputusan parti dimuktamadkan, maka mereka perlu akur dengannya.

“Dari segi hubungan pula saya sebagai Timbalan PN Negeri tidak ada masalah, bab peribadi kita perlu letak sebelah, bab parti perlu pegang dan pertahankan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Kuala Perlis, di sini malam tadi.

Terdahulu Abu Bakar bersama semua ADUN telah menandatangani Surat Akur Janji Taat Setia menyatakan sokongan dan mengikut segala keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.

Surat arahan khusus itu dikeluarkan oleh parti berkenaan selaras dengan Fasal 10.5 Perlembagaan BERSATU dan perlu ditandatangani dalam tempoh 14 hari dari tarikh arahan dikeluarkan (bermula 17 Mei).

Menurut Abu Bakar, dengan adanya arahan demikian pihaknya yakin tidak akan berlaku lagi dalam kalangan wakil rakyat BERSATU menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga menyangkal bahawa wujudnya kumpulan A atau kumpulan B dalam kepimpinan BERSATU Perlis.

“Gambaran macam itu tidak betul, kehadiran malam ini menunjukkan kita mempunyai semangat bersatu dah nama pun parti BERSATU, jadi tidak wujud kumpulan A atau kumpulan B.

“Kami masih bekerja dan mempunyai tugas tertentu bagi membela parti, dari Padang Besar, Kangar dan Arau kesemuanya setia dan mempunyai hubungan yang baik,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -