
KUALA LUMPUR: Pesta hiburan di atas gerabak keretapi milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjenamakan Pinkfish Express dilihat telah menonjolkan budaya berhibur melampaui batas.
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, pesta tersebut bertentangan dengan budaya ketimuran yang mengutamakan nilai tatasusila, kesopanan dan hiburan sederhana.
Malah katanya, pesta hiburan yang seperti menghadiri kelab malam itu tidak mencerminkan nilai Rukun Negara dan mencemarkan nama KTMB iaitu merupakan satu aset negara bersejarah.
Pesta menerima jolokan sebagai ‘festival hiburan atas keretapi pertama di Asia Tenggara’ itu dianjurkan oleh entiti bernama Pinkfish Festival yang bermula dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur sebagai lokasinya.
“Walau apa jua alasan digunakan bagi menjustifikasikan program ini, seperti contohnya bagi tujuan penjanaan kewangan, ia tetap tidak boleh diterima dan dilihat bertentangan dengan falsafah Malaysia Madani dibawakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan.
“KTMB merupakan salah satu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berada bawah Kementerian Kewangan. Kami mencadangkan agar siasatan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan akan punca bagaimana program sebegini boleh diluluskan.
“(Ini kerana) melihatkan ketidakwajaran aktiviti maksiat sebegini dinormalisasikan menggunakan syarikat berkaitan kerajaan yang mempunyai simbolik begitu penting bagi imej dan maruah negara. PAS menggesa agar aktiviti yang melampaui batas dan mencemarkan imej KTMB ini tidak wajar diteruskan,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, imej KTMB serta pengamalan budaya hiburan sederhana tanpa diceduk daripada mana-mana negara Barat harus dipertahankan dalam negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk.
PAS jelas beliau, menegaskan bahawa hiburan bukanlah sesuatu yang dilarang buat rakyat Malaysia dan umat Islam, namun begitu, Islam hadir membawakan garis panduan yang komprehensif dalam mengisi naluri manusia yang berkehendakkan kepada hiburan.
“Sederhana dalam berhibur adalah kunci kepada kemajuan,” ungkap beliau mengulangi peringatan yang seringkali dinasihatkan PAS terhadap begitu banyak penganjuran hiburan seumpama di era Kerajaan Madani ini. – HARAKAHDAILY 19/5/2024











