Muhammad Akhyar kembali jalani latihan ringan

Muhammad Akhyar Rashid
- Advertisement -

KUALA NERUS: Setelah berehat selama dua minggu akibat kecederaan disamun dan dipukul, pemain sayap Terengganu FC (TFC), Muhammad Akhyar Rashid kini kembali menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan.

- Advertisement -

Menurut Akhyar, semangatnya tidak luntur untuk menyertai latihan ringan bersama rakan meskipun masih trauma selepas cedera pada bahagian kepala dan dua kaki.

“Saya harap keadaan saya semakin pulih dan dapat menjalani latihan dengan pasukan selain dapat beri yang apa saya nak selama ini untuk bantu pasukan.

“Hari ini buat latihan ringan sahaja. Saya rasa dua tiga hari lagi dah boleh pulih sepenuhnya dan jahitan di kaki mungkin dibuka pada Rabu.

“Insya-Allah… saya akan turun jalani latihan. Semangat memang seperti sebelum ini dan tak ada yang kurang serta beza cuma trauma itu mungkin ada,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.

Akhyar yang mesra dipanggil Mat Yat turut berterima kasih kepada peminat bola sepak yang sentiasa mendoakan kesembuhan dirinya.

“Saya nak lupakan kejadian itu kalau boleh. Jadi saya harap semua pihak dapat beri sokongan dan semangat pada saya.

“Terima kasih doakan saya selama ini. Dalam keadaan saya sekarang ini, saya rasa sudah baik sekarang dan harap dapat beri terbaik untuk peminat-peminat nanti,” ujarnya.

Mengulas berhubung kejadian insiden yang menimpanya, Akhyar berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

“Setakat ini tidak ada perkembangan berhubung kes itu. Saya serah sepenuhnya kepada polis untuk ambil tindakan,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, Akhyar mengalami kerugian hampir RM5,000 setelah disamun dua lelaki bersenjata dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu.

Akibat kejadian itu, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima enam jahitan iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan. – HARAKAHDAILY 15/5/2024

- Advertisement -