
SERANGAN Israel pada hari ke-3 di Rafah dan hari ke-216 di seluruh Semenanjung Gaza menyaksikan meningkatnya jumlah kematian, kecederaan, kemusnahan rumah kediaman dan pelbagai kerosakan.
Semalam, Jabatan Penerangan Palestin mengumumkan angka kematian termasuk 10,000 yang belum ditemui ialah 44,844 orang. Namun selepas 24 jam pengumuman berkenaan, angka kematian meningkat kepada 44,904 orang termasuk 10,000 orang yang belum ditemui.
Tujuh kubur besar turut ditemui di pekarangan tiga buah hospital membabitkan 520 mayat yang dikambus oleh tentera Israel ketika operasi mengepung hospital-hospital berkenaan.
Sebuah kubur besar ditemui di pekarangan Hospital Kamal Udwan, tiga buah di Kompleks Peubatan As Syifa’ dan tiga buah lagi di Kompleks Perubatan Nasir.
Rafah adalah bandar terakhir bersempadan dengan Mesir. Di situ juga terdapat satu-satunya laluan keluar masuk ke Mesir yang kini sudah dikuasai oleh Israel.
Sebelum ini Rafah penuh sesak dengan warga Palestin yang datang menyelamatkan diri dari wilayah Utara dan Tengah. Kini mereka terpaksa berpatah balik ke bahagian tengah yang belum menjanjikan sebarang keselamatan untuk mereka.
Angka 34,904 syuhada’ seperti yang diumumkan oleh Jabatan Penerangan dan Jabatan Kesihatan itu adalah angka mayat-mayat yang dibawa ke hospital untuk disahkan kematian. Di samping itu dianggarkan 10,000 mayat masih belum ditemui di bawah runtuhan bangunan.
Lebih 15,000 syuhada’ adalah kanak-kanak, dengan 9,893 orang adalah wanita. Di samping itu terdapat 30 orang kanak-kanak yang mati kerana kelaparan.
Serangan selama 216 hari ini juga telah membunuh 492 orang doktor dan petugas kesihatan, 68 orang anggota pertahanan awam dan 442 orang wartawan dan petugas media.
Seramai 78,514 orang dilaporkan cedera, di mana 72 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak dan wanita.
Seramai 17,000 kanak-kanak kehilangan ibu bapa atau salah seorang darinya dan 11,000 orang mengalami kecederaan parah yang memerlukan rawatan di luar negara.
Seramai 10,000 orang pesakit kanser berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan rawatan di luar negara, manakala 20,000 orang terkena jangkitan hepatitis akibat suasana sekitar yang tidak terkawal.
Seramai 60,000 orang wanita sedang hamil dan dijangka akan melahirkan anak dalam keadaan serba kekurangan. Di samping itu seramai 350,000 warga mengalami penyakit lama yang berulang kerana kesesakan manusia dan cuaca.
Serangan selama 216 hari ini juga mengakibatkan 2 juta orang menjadi pelarian. Mereka tidur di dalam plastik dan kotak yang dijadikan khemah dan alas. Sementara sebahagian yang lain hanya tinggal di tepi-tepi jalan dan serta tempat yang tidak tetap.
Sejak 7 Oktober tahun lalu rejim Zionis telah menangkap lebih 5,000 orang penduduk tempatan, termasuk 310 petugas kesihatan dan 20 orang kakitangan media.
Sehingga kini Israel dengan bantuan dan sokongan Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan beberapa buah negara Barat yang lain telah menggunakan 75,000 tan bahan letupan untuk memusnahkan bumi Gaza.
Dianggarkan kerosakan dan kemusnahan setakat ini bernilai 33 bilion dollar Amerika.
Akhbar UK, Declassified melaporkan Tentera Diraja Britian telah bekerjasama dengan IDF dengan melakukan 200 operasi peninjauan udara. Khidmat Britain yang bermula pada 3 Disember lalu telah mencapai 1,000 jam penerbangan di ruang udara Gaza untuk melaporkan keadaan dan kesesuaian waktu serangan kepada tentera Israel.
Khidmat pesawat tinjau ini dimanfaatkan oleh pesawat Israel untuk melakukan serangan membunuh seramai mungkin mangsa termasuk satu operasi khas membunuh tiga orang warga Britain yang bertugas dengan agensi bantuan Palestin.
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 10/5/2024
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











