
SEREMBAN: Wakil rakyat pembangkang sewaktu menerima elaun bulanan umpama hari ini tergolong M40, esoknya pula menjadi B40, kata Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa (PN-Serting).
Jelas beliau, perkara itu berlaku disebabkan sebahagian besar elaun diterima digunakan untuk membantu rakyat dan menguruskan Pusat Khidmat kerana tidak menerima peruntukan pembangunan.
“Untuk pengetahuan Datuk Yang Dipertua, itulah gaji dan itulah juga peruntukan bagi kami kepada rakyat dan juga DUN kami.
“Realitinya hari ini dapat gaji, hari esok duit tersebut habis untuk satu pertiga Pusat Khidmat, satu pertiga bantuan kepada rakyat dan satu pertiga kegunaan sendiri.
“Umpama hari ini menjadi M40 esok jadi B40. Itulah bagi kami,” ujar beliau sewaktu Perbahasan Junjung Kasih Titah Di-Raja, Persidangan DUN Negeri Sembilan, di sini semalam.
Beliau juga berharap agar kesukaran yang dihadapi wakil rakyat pembangkang itu mendapat perhatian Menteri Besar dan juga Kerajaan Negeri Sembilan.
Namun, tegas beliau, sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir Negeri Sembilan dalam PRU16 nanti, parti gabungan itu tidak akan melakukan perkara yang sama.
“Sekiranya kami diberi mandat memerintah nanti kami akan pastikan penjawat awam mendapat kebajikan terbaik.
“Di samping ADUN yang dipilih sama ada pro-kerajaan ataupun pembangkang akan mendapat peruntukan yang sama atau hampir sama bagi kepentingan rakyat di bawah ADUN tersebut,” ujarnya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata, ia terbukti berdasarkan apa yang dilakukan PN di negeri-negeri yang diperintah parti gabungan itu pada masa ini dengan berlaku adil kepada semua.
“Budaya balas dendam bukan satu amalan yang baik bahkan ianya satu kezaliman kepada pihak yang lain.
“Firman Allah yang yang bermaksud ‘Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa’. Suratul Maidah ayat 18,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/5/2024











