
NARATIF berbeza sedang melanda Umno sekarang. Begitu kencang dan marak pertembungan dua kumpulan. Satu pihak tidak segan silu lagi menggambarkan musuh tradisinya semakin jujur dan baik akar budinya.
Hanya sekadar ucapan pemimpin DAP di pentas politik, ada pemimpin Umno tiba-tiba menggambarkan DAP begitu budiman.
Jauh sekali mahu membelek ideologi DAP. Sekarang segelintir pemimin Umno seperti hilang arah. Apakah itu menggambarkan hujah sebenar seperti disebut Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan.
Beliau melontar hujah itu ketika siaran langsung Naratif Khas jam 9 malam di RTM 1 malam Selasa lepas. Ahmad seperti mengenepikan sejarah.
Sedangkan sejak merdeka, Umno-DAP tidak dapat bertentangan mata. Tun Razak pernah mengajak semua parti berpaut di bawah Perikatan pada 1973, namun DAP menolak.
Usaha Tun Razak ketika itu bagi meredakan pertembungan antara kaum.
Golongan muda perlu khatam sejarah tersebut. Malah banyak kajian sarjana menggambarkan DAP sebagai galang ganti People’s Action Party (PAP) selepas Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada 1965.
PAP semenjak awal penubuhannya memperjuangkan dasar kesaksamaan. PAP pejuang hak sama rata kepada semua kaum. Parti yang diasas Lee Kuan Yew tersebut juga mencabar kedudukan istimewa orang Melayu.
Abdul Halim Ramli dan Mohammad Redzuan Othman pada kajian menulis, wawasan PAP kemudian diperjuangkan pula oleh DAP selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965.
Kajian itu dimuat dalam ‘Gagasan Malaysian Malaysia Wawasan PAP: Kesinambungan dan Penentangan Orang Melayu, 1964-1969’.
Setelah Singapura berpisah dari Malaysia pada Ogos 1965, sebahagian pemimpin PAP menubuhkan sebuah parti politik baru. Kerajaan meluluskan pendaftaran Democratic Action Party (DAP) pada 19 Mac 1966.
Itu catatan sejarah yang tidak mampu dinafikan. Dua sarjana terbabit turut menjelaskan bekas Timbalan Setiausaha Agung DAP Abdul Muluk Abdullah menyebut konsep kepelbagaian kaum mendasari perjuangan DAP.
“Konsep pelbagai kaum diperkenalkan Lee Kuan Yew dalam tahun 1965. DAP kemudiannya mengambil alih peranan PAP dalam memperjuangkan gagasan ‘Malaysian Malaysia’,” kata sarjana terbabit.
Gagasan tersebut menjadi matlamat perjuangan DAP dan diikrarkan dalam ‘Deklarasi Setapak 1967’. Ia diumumkan pada 29 Julai 1967.
Catatan tersebut sudah lama terhidang. Ia tidak berubah selagi Deklarasi Setapak 1967 tidak dimansuh. Tentunya hujah Ahmad Maslan tidak mampu memulih Umno sudah tercalar teruk.
Pemimpin utama Umno juga sukar untuk mengharmonis sejarah lampau. Inilah asas penolakan orang Melayu terhadap DAP seperti dibuktikan pada PRU dan pilihan raya negeri (PRN) lepas.
Kebebasan media
Pengundi Melayu di Kuala Kubu Bharu juga tidak lupa sejarah itu. Biarpun pemimpin veteran Umno tampil membantu kempen calon DAP, namun ia seperti sudah terlambat.
Tambah cedera lagi apabila laporan Reporters Without Borders, Indeks Kebebasan Media di Malaysia jatuh sebanyak 34 tangga. Negara kita berada di tangga ke-107 dengan mencatatkan 52.07 mata.
Sedangkan tahun lalu Malaysia menduduki tangga ke-73 dengan 62.83 mata. Mengapa begitu cepat prestasi kebebasan media di era Madani menjunam.
Tidak dapat dinafikan ada banyak faktor. Antaranya wartawan Harakah ‘diragut’ kad perakuan media Jabatan Penerangan tahun lepas. Serta merta arahan daripada Putrajaya supaya kad media petugas Harakah ditarik.
Biarpun kesilapan meletak foto perdana menteri berlatar belakang bendera Israel ditarik balik dan permohonan maaf dihantar, namun karyawan Harakah tetap ‘didera’ sampai sekarang.
Kes seumpama itu tentunya mendapat perhatian Reporters Without Borders. Ditambah pula TikTok melaporkan agensi itu menerima 340 permintaan dari kerajaan Malaysia menyekat akses kepada kandungan tertentu.
Kes terbabit berlaku pada separuh pertama tahun 2023. Berikutan itu TikTok mengambil tindakan terhadap 815 daripada 890 kandungan sebagai pelanggaran undang-undang tempatan.
Malah pada 15 Julai 2023 Akaun TikTok rasmi Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor juga tidak lagi boleh diakses. Akaun pemimpin PAS terbabit mempunyai 432,700 pengikut.
Pada 28 Mac lepas pempengaruh media sosial yang tidak sehaluan kerajaan turut mendakwa akaun mereka kerap disekat atau dipadam.
Antaranya Na’im Brundage. Pempengaruh itu dikatakan kerap memuatkan video mempersoalkan dasar kerajaan. Kata beliau akaun TikToknya disekat buat kali ketiga pada 26 Mac 2024.
Pada 2 Mei lepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq juga mendakwa kebebasan bersuara di bawah kerajaan sekarang semakin pudar.
“Sekatan dilakukan kerajaan sangat luar biasa kerana kebanyakan hantaran di media sosial berkaitan keadaan atau masalah sebenar yang dihadapi, kini diturunkan serta merta,” katanya seperti dilaporkan sebuah media.
Berdasarkan dalil itu markah yang diberi Reporters Without Borders terhadap Malaysia ada asasnya. Ia bukan semberono.
Cerita-cerita seperti itulah yang berputar di Kuala Kubu Bharu sekarang. Mereka seperti sudah dapat petunjuk jelas sebelum melangkah ke bilik mengundi Sabtu ini. – HARAKAHDAILY 9/5/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.











