Rakyat Selangor marah cukai taksiran naik 100 peratus

Hilman Idham
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Rakyat Selangor telah digemparkan dengan notis-notis Jabatan dan Penilaian Pengurusan Harta (JPPH) kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Daerah Hulu Selangor tentang kenaikan cukai taksiran naik 100 peratus.

Pengarah Jentera Pemuda PN, Muhammad Hilman Idham berkata, notis-notis yang disemak nilaian baru di bawah Seksyen 141 Akta Kerajaan tempatan 1976 berlakunya peningkatan kepada kadar cukai taksiran bagi setiap unit-unit rumah.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, perkara ini bukan isu cukai taksiran kepada semua kampung melayu tradisi yang cukainya sebelum ini dikecualikan tetapi hari ini diperkenalkan semula.

“Antara aduan yang dibawa dalam bilik gerakan utama kita adalah berkenaan dengan tuntutan cukai taksiran, ada yang hanya perlu membayar RM380 setahun tetapi untuk tahun hadapan yang dinilaikan sebanyak RM720 setahun,” katanya dalam sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) di sini, hari ini.

Tambah Hilman, isu cukai taksiran kepada semua rumah-rumah dan unit-unit di negeri Selangor menunjukkan peningkatan lebih kepada 100 peratus untuk setiap unit yang terlibat.

“Peningkatan secara 100 peratus ini menimbulkan lagi kemarahan rakyat dan saya cukup yakin tambahan isu yang ada, bukan sekadar anak muda bahkan seluruh rakyat negeri Selangor akan bangkit untuk menolak kerajaan negeri Selangor dan juga Kerajaan Madani yang berada di peringkat persekutuan sekarang ini.

“Dengan tekad, iltizam serta seruan saya untuk meminta seluruh anak-anak muda bersama-sama dalam arus perubahan Perikatan Nasional yang akan menawarkan perkhidmatan yang cukup baik dan komitmen yang jelas dalam PRK KKB pada 11 Mei ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -