
GOMBAK: Islam menganjurkan perpaduan ummah dan telah berjaya dalam sejarahnya menjadi kuasa besar dunia selama lebih 1,300 tahun memerintah Timur dan Barat, Asia, Eropah dan Afrika.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Islam berjaya memerintah dengan menyatupadukan masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama dengan mencapai tamadun yang hebat.
“Kesannya sampai ke hari ini, tetapi telah dirosakkan oleh tamadun Barat setelah mereka berjaya mencuri tamadun Islam, merampasnya di zaman kelemahan orang Islam (iaitu apabila orang Islam) meninggalkan ajaran Islam.
“Nabi kita Muhammad SAW telah berjaya menyatukan umat bermula dengan umat Islam dan disebutnya dengan ummah ijabah kalangan yang menerima Islam menganut Islam dan ummah dakwah iaitu bukan-Islam yang reda berada di bawah Kerajaan Islam yang adil untuk semua.
“Kalau dikaji ajaran Islam itu kita akan dapati tak ada sebab bagi orang Islam untuk berpecah. Allah meletakkan perkara dasar prinsip yang tak boleh diubah sekali-kali. Dalam masa yang sama ajaran yang fleksibel yang boleh mengikuti perkembangan perubahan masa, situasi realiti dan perbezaan,” ujarnya.
Beliau berucap pada Konvensyen Fiqh Al-Wahdah membawa tema ‘Islam Menyatukan Ummah’ yang diadakan di Dewan Dato’ Haji Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau menyatakan lagi, Islam dapat menyatukan bangsa yang keras dan ekstrem serta orang bukan Islam yang tidak ekstrem dalam kalangan kaum Yahudi dan penyembah berhala, selain benci kepada perpecahan dan pergaduhan.
Tambah beliau, sebab mengapa kalangan orang Islam berpecah adalah kerana meninggalkan ajaran Islam itu sendiri menyebabkan saling berbeza pendapat lalu terjadilah perpecahan umat.
“Perbezaan tersebut menyebabkan perbezaan mazhab dan atas sebab-sebab politik, musuh mengambil kesempatan memecahkan umat Islam di mana beliau telah memperincikan perbezaan mazhab dalam pembentangan itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024











