Pusat Mempelam Kedah punyai paling banyak varieti

- Advertisement -

JERAI: Pusat Mempelam Kedah (PMK) adalah penjenamaan semula dari Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan berikutan potensinya sebagai salah satu agropelancongan menjelang Tahun Melawat Kedah 2025.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PMK merupakan satu-satunya ladang mempelam di Malaysia dan mungkin juga di dunia yang mempunyai begitu banyak koleksi varieti mempelam.

“Terdapat 40 varieti mempelam dari Kedah, 39 varieti dari negeri lain di seluruh Malaysia dan 32 varieti dari luar negara. Mungkin adanya perkataan ‘teknologi’ pada nama pusat ini, ramai menyangka bahawa ia adalah pusat penyelidikan semata-mata,” ujarnya.

Tegasnya pusat itu telah wujud di sejak tahun 1977 dan sehingga kini mempunyai 503 bilangan pokok, 111 varieti mempelam yang dikumpul dari serata negara di tanah berkeluasan 4.8 hektar.

Beliau membentangkan maklumat-maklumat tersebut ketika berucap merasmikan Majlis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan, Yan, di sini hari ini.

“Tahun lalu, saya datang ke sini untuk melancarkan pemasaran mempelam harumanis jenama Harumanis D’Aman dan alhamdulillah, difahamkan telah mendapat sambutan dan langganan yang sangat baik.

“Oleh itu dengan tanah luas yang kita ada, dan potensi untuk meluaskan lagi penanaman harumanis, saya yakin Harumanis D’Aman akan mendominasi pasaran dalam beberapa tahun akan datang,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu kata Sanusi, selain dijadikan pusat pemasaran Harumanis D’Aman dan juga jenis-jenis mempelam lain di Kedah, PMK juga akan menjadikan pusat penyelidikan, informasi dan rujukan mengenai mempelam, termasuk pembekalan benih dan khidmat nasihat.

PMK juga katanya, menyediakan tarikan lain seperti Galeri Pameran dan lokasi ‘healing’ dengan banyak tempat bergambar serta lokasi beriadah bersama keluarga di mana dibuka kepada orang ramai bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Menteri Besar dibawa melawat sekitar kawasan PMK selepas selesai majlis perasmian tersebut. – HARAKAHDAILY 5/5/2024

- Advertisement -