TBW bantu usaha tarik 4.5 juta pelancong ke Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu International Bike Week (TBW) 2024 bakal memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 4.5 juta kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris  yakin dan percaya penganjuran acara berkenaan dapat membantu usaha kerajaan untuk mencapai target tersebut.

“Saya dengan penuh berharap kali ini akan membantu sebahagian daripada target kita untuk menarik pelancong dalam dan luar negara ke Terengganu, saya yakin dan percaya penganjuran Bike Week kali ke 12 ini dapat membantu,” katanya pada sidang media mengenai TBW 2024 di Hotel Paya Bunga di sini, semalam. (Foto atas)

Turut hadir, Presiden ECMC, Tengku Seri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzuan Abdul Rahman.

TBW 2024 anjuran East Coast Motorcycle (ECMC) dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan diadakan pada 28 hingga 30 Jun depan di Dataran Shahbandar, di sini.

Acara yang akan diadakan tiga hari itu bakal disertai daripada pelbagai negara antaranya Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia serta melibatkan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi dari seluruh Malaysia.

Menurut Razali, acara itu turut diserikan dengan program sembang santai bersama ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus selepas solat Isyak pada 27 Jun.

Manakala program Tabligh Akhbar TBW pula akan menampilkan Ustaz Kamal Hamzah selepas solat Mahgrib. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -