
KOTA BHARU: Polis Kelantan mempertingkatkan kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand terutama Kampung Tersang dan Jeram Perdah di Jajahan Pasir Mas.
Ini susulan insiden letupan bom dan bunyi tembakan yang berlaku di Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat awal, hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) meningkatkan kawalan dengan serta-merta kerana kawasan itu terletak berdekatan dengan lokasi kejadian.
“Pihak kita akan melakukan kawalan sempadan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memantau dan menjaga keselamatan sempadan.
“Selain itu juga, kawalan turut dipertingkatkan di kawasan lain yang berdekatan sempadan negara selain turut bekerjasama dengan pihak keselamatan Thailand,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.
Sementara itu, ujarnya Polis Kelantan turut bersedia memberikan bantuan kepada pihak berkuasa Thailand.
“Kita mempunyai hubungan amat baik terutamanya melibatkan isu persempadanan negara,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, penduduk sempadan Malaysia-Thailand, mengakui terkejut mendengar bunyi letupan dan bedilan yang dipercayai berlaku di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, kira-kira pukul 1.00 pagi tadi. – HARAKAHDAILY 29/4/2024











