Ibu tunggal diabai bekas suami terima bantuan MAIDAM

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 16 ibu tunggal yang diabaikan bekas suami menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah RM27,000.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, peruntukan itu disalurkan kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang dikendalikan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR).

“Majlis penyerahan bantuan pendahuluan nafkah ini kebiasaannya diadakan dua kali setahun. Pada hari ini kita agihkan kepada 16 penerima yang melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM27,000.

“Rata-rata penerima bantuan pendahuluan nafkah merupakan suri rumah atau mereka yang berpendapatan rendah dan termasuk dalam had kifayah asnaf zakat.

“Penerima bantuan ini juga mempunyai anak-anak termasuk yang masih bersekolah dan merupakan golongan yang perlu dibantu kerana bekas suami gagal memberi nafkah anak sebagaimana yang diperintahkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Siri 1 Tahun 2024 di Bangunan Mahkamah Syariah Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Tahun ini MAIDAM telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi dua siri setiap tahun.

Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berharap pendahuluan nafkah tersebut dapat meringankan beban para penerima untuk menguruskan perbelanjaan anak-anak. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

- Advertisement -