
TANGGAL 28 April setiap tahun adalah hari sambutan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia (World OSH Day). Sambutan kali ini Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labor Organization) telah meletakkan tema berkaitan impak perubahan iklim terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Perubahan iklim ialah ancaman jangka panjang yang nyata dan boleh menjejaskan kehidupan kita. Kajian saintis mendapati perubahan iklim berpunca daripada peningkatan gas rumah hijau di atmosfera yang terhasil kesan daripada aktiviti manusia terutama pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan petroleum. Perubahan iklim ini bukan sahaja memberi tekanan kepada persekitaran, malah menjejaskan ekonomi dan impak kepada keselamatan dan kesihatan dI tempat kerja.
Sumber ILO menyatakan lebih daripada 70 peratus daripada tenaga kerja global, mungkin terdedah kepada bahaya kesihatan yang berkaitan dengan perubahan iklim. Apabila perubahan iklim semakin meningkat, pekerja di seluruh dunia menghadapi peningkatan risiko pendedahan kepada hazard seperti haba yang berlebihan, sinaran ultraungu, kejadian cuaca yang melampau, pencemaran udara, penyakit bawaan vektor dan agrokimia.
Oleh itu pihak kerajaan dan industri perlu mengambil tindakan pengawalan dan mitigasi bagi mengurangkan risiko yang bakal dihadapi oleh pekerja. Memang tidak dinafikan bahawa kita tidak mampu untuk menghalang krisis perubahan iklim dan pemanasan global daripada terus berlaku, namun kita masih mempunyai akal dan kebijaksanaan untuk mencari penyelesaian terbaik dalam usaha menangani risiko di tempat kerja.
Bagi umat Islam kita sedar bahawa akhir zaman sememang dunia menjadi semakin panas dan kering kontang. Cumanya selagi kita masih hidup, kita disuruh untuk terus berusaha mencari penyelesaian. Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah menerusi pembentukan sumber manusia yang bertakwa, yakni yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam dalam aspek penjagaan dan pengurusan alam sekitar dan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan agar kelestariannya terus dapat dipertahankan.
Hal ini selari dengan tujuan penciptaan manusia, yakni bagi melaksanakan tugas selaku khalifah sebagaimana teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam melaksanakan amanah di atas muka bumi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” (al-Anbiya’: 107).
Oleh:
TS HAJI SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) – HARAKAHDAILY 28/4/2024











