
KANGAR: Peratus keluar mengundi dijangka akan menjadi antara faktor penyumbang kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 DUN Kuala Kubu Bharu.
Setiausaha Agong PAS Pusat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu optimis dengan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri PAS Pusat di Dewan 2020, di sini, hari ini.
“Sebagaimana yang diketahui kita menghadapi pertembungan empat penjuru, jadi tidak mudah untuk menang. Walaubagaimanapun, kita mempunyai potensi yang baik jika sekiranya beberapa syarat dipenuhi.
“Antaranya peratus keluar mengundi tinggi, kita rasa peluang lebih cerah,” ujarnya turut ditanya berkaitan penahanan anak Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
“Saya rasa tidak ada apa, tahun 2009 arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kononnya ditaja oleh seorang peniaga untuk pergi umrah.
“Bagi kita, terbuka. Maknanya boleh disiasat mengikut undang-undang kalau ada asas yang kuat, tuduhlah di mahkamah,” ujarnya lagi dan menegaskan bahawa siasatan bukan hanya dihadapi PAS tetapi juga individu lain.
Katanya, individu lain juga mempunyai kes, bukan PAS sahaja, sama ada diambil tindakan atau tidak, namun berharap SPRM terus bertindak secara profesional tanpa memilih bulu. – HARAKAHDAILY 27/4/2024











