
HULU SELANGOR: Jentera Wanita PERIKATAN NASIONAL (PN) bersedia dengan gerak kerja yang kemas dan tersusun sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) yang akan diadakan pada 11 Mei depan.
Timbalan Wanita PN, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, kesepakatan dan kerjasama yang baik adalah antara punca yang menyumbang kepada kemenangan PN dalam PRK itu nanti.
Justeru, beliau mengharapkan jentera gabungan parti itu supaya lebih banyak mendekati para pengundi.
“Gunakan peluang semasa berkempen ini menerangkan tentang kelebihan calon dan reputasi parti (PN) yang sangat menjaga kebajikan rakyat semasa menjadi kerajaan zaman Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri,” ujarnya ketika memberi taujihat sempena program Majlis Doa Delamat dan Pelancaran Jentera Wanita PN di Kampung Melayu Rasa Tambahan, Kuala Kubu Bharu semalam. (Foto atas)
Turut hadir ialah Ketua Wanita PN Malaysia, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Selangor merangkap Bendahari Wanita PN, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan.

Tambahnya lagi, Jentera Wanita PN juga diberi tanggungjawab untuk memberikan penerangan yang jelas kepada orang ramai.
“Isu-isu penting seperti kebajikan rakyat yang tidak terjaga dan kenaikan kos sara hidup perlu diterangkan dengan teliti,” katanya.
Ustazah Nuridah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia turut meminta agar semua petugas PN yang terlibat akan bergerak sebagai sebuah pasukan dan sentiasa mengikut arahan pimpinan.
Beliau turut mengingatkan agar jentera sentiasa mengikhlaskan diri dalam membuat kerja, memperbanyakkan bermunajat, berdoa dan berzikir agar Allah memudahkan urusan dan melembutkan hati para pengundi untuk mengundi calon PN ketika membuang undi nanti.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi mengumumkan pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut, 54, sebagai calon pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK DUN berkenaan pada 11 Mei manakala 27 April ini adalah penamaan calon.
Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – HARAKAHDAILY 26/4/2024











