
KANGAR: Kebajikan rakyat menjadi keutamaan utama Kerajaan Negeri Perlis, sambil mempercepat pembangunan negeri.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, mengumumkan bahawa hingga kini, pihaknya telah meluluskan sebanyak 190 pemberimilikan tanah pada tahun lepas, dengan 113 permohonan lagi sedang dipertimbangkan.
“Dalam masa kerajaan negeri sedang giat merancang pembangunan untuk kemajuan negeri Perlis, kita tidak lupa memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.
“Bukti nyata ialah kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 190 pemberimilikan bagi permohonan individu pada tahun 2023.
“Bagi suku tahun pertama tahun 2024, sebanyak 113 permohonan individu akan dipertimbangkan oleh pihak berkuasa negeri,” katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau menyatakan demikian semasa menjawab soalan Marzita Mansor (PN-Sena) mengenai pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) oleh kerajaan kepada rakyat yang mengusahakan tanah kerajaan.
Mohd Shukri menegaskan bahawa tempoh minimum usaha bagi tujuan pemberimilikan ialah sekurang-kurangnya 10 tahun.
“Hal ini bertujuan untuk memastikan bahawa pemberimilikan hanya diberikan kepada pemohon yang benar-benar perlu dan mengusahakan tanah tersebut.
“Sehubungan dengan itu, pemegang TOL yang telah mencapai tempoh matang tersebut, boleh membuat permohonan pemberimilikan melalui Jadual 1,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/4/2024











