Karnival Kerjaya PERKESO tawar 1,000 peluang kerja

Nora Yaacob
- Advertisement -

KOTA BHARU: PERKESO Kelantan akan menganjurkan Karnival Kerjaya MYFutureJobs PERKESO 2024 yang bertema ‘PERKESO 2024: Tiada Yang Terpinggir’ di Kelantan.

- Advertisement -

Program berkenaan akan diadakan selama dua hari pada 4 dan 5 Mei ini di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), Bandar Baru Tunjong.

Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob berkata, sebanyak 25 majikan dijangka mengambil bahagian pada program berkenaan dengan menawarkan 1,000 kekosongan jawatan.

Antaranya Ain Medicare Sdn Bhd, Shin Etsu Polymer (M) Sdn Bhd, Jaya Grocer dan lain-lain syarikat yang akan menawarkan pekerjaan.

Kata beliau antara pengisian pada karnival itu disediakan kaunter kaunseling kerjaya bagi pencari kerja yang memerlukan bantuan berkaitan pemilihan kerjaya, seminar kebolehpasaran dan Jualan Rahmah Madani.

“Selain itu, turut diadakan Program Ekplorasi Kerjaya khas, taklimat dan pendedahan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan lain-lain lagi,” katanya di sini.

Nora juga berkata, pihaknya ingin membantu orang ramai dengan mengulangi kejayaan program serupa tahun lepas, apabila seramai 3,439 orang berjaya mendapat pekerjaan melalui karnival kerjaya dan sesi temuduga sepanjang tahun 2023.

Menurutnya, jumlah kehadiran karnival kerjaya tahun lalu seramai 11,678 orang dengan jumlah kekosongan yang ditawarkan majikan sebanyak 14,031.

“PERKESO tidak mahu ada pihak yang ketinggalan dalam mencari pekerjaan. Turut diberi peluang golongan rentan seperti OKU, warga emas dan bekas penghuni penjara turut dibantu,” ujarnya.

Program Ekplorasi Kerjaya juga dianjurkan bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar dalam membangunkan potensi mereka mengikut padanan kerjaya pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -