‘Cuba anda kritik Kim Jong Un di Korea Utara’

Pensyarah pro-Israel tuduh Malaysia anjur Holocaust terhadap Yahudi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dipersoal sama ada akan mengambil tindakan terhadap isu seorang ahli akademik dari Amerika Syarikat yang menyampaikan ucapan memburuk-burukkan Malaysia berhubung pendirian terhadap Palestin dan Israel.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, profesor pro-Israel itu secara terang-terangan mengkritik dasar luar Malaysia dalam isu Palestin semasa sesi syarahan di sebuah universiti tempatan di sini, kelmarin.

Bahkan menurutnya, profesor sains politik Portland State University itu secara jelas menyebut ucapan berunsur hasutan dan kebencian bahawa ahli politik negara ini menganjurkan Holocaust kedua terhadap orang Yahudi.

“Kerajaan tidak mahu ambil apa-apa tindakan kah? Kot Perdana Menteri nak kata kerajaan tidak ada bidang kuasa untuk ambil tindakan?” ujar Ahli Parlimen Pasir Mas itu merujuk petikan ucapan tersebut yang tular.

Pensyarah itu, Bruce Gilley sendiri memuat naik status petikan ucapan beliau tersebut bersama gambar semasa pembentangan di Universiti Malaya yang berunsur propaganda Zionis hingga menerima kecaman warga media sosial.

“Jika anda ke negara China dan mengkritik ideologi komunis di negara tersebut, boleh jadi anda tidak akan dapat keluar dengan selamat. Tak payah sebutlah jika ke Korea Utara dan berceramah mengkritik Kim Jong Un,” peringat Ahmad Fadhli.

Hasil semakan di platform X milik Bruce Gilley, beliau telah memadam muat naik asal status dan gambar tersebut yang diganti dengan tangkap layar bersama status baharu mendakwa atas sebab keselamatan.

Universiti Malaya dalam pada itu diarahkan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Seri Zambry Abd Kadir untuk membatalkan segera semua jadual Bruce Gilley di institusi itu menyiasat perkara tersebut.

KPT katanya, memandang serius isu yang berlaku tersebut di mana pensyarah asing itu mengeluarkan kenyataan yang dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -