
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menzahirkan dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter di Lumut Perak.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, beliau terkejut mendapat berita mengenai kemalangan dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Terkejut mendengar perkhabaran duka kemalangan dua helikopter TLDM semasa latihan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90. Saya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga.
“Seramai 10 krew terlibat dalam kemalangan tersebut. Semoga semua pejuang yang terlibat dikurniakan sebaik-baik ganjaran di sisi-Nya,” katanya di laman sosialnya.
TLDM pada kenyataan media mengesahkan sebuah helikopter Operasi Maritim TLDM dan helikopter FENNEC TLDM terhempas ketika sesi raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 pada jam 9.32 pagi tadi.
Seramai 10 mangsa masing-masing tujuh kru helikopter HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM, kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian, dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM. – HARAKAHDAILY 23/4/2024











