‘Hebat dia berbohong, mana dia beli kebolehan itu?’

Penyakit Umno guna Jentera Kerajaan berjangkit dalam PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menarik perhatian warga media sosial apabila menaikkan coretan mengenai ucapan seorang Timbalan Presiden sebuah parti politik dalam kerajaan.

- Advertisement -

Menurutnya pada kemaskini itu, Timbalan Presiden tersebut telah berucap di program konvensyen partinya dalam sehari dua ini dengan mendabik dada berkata ‘Kita tak gunakan jentera dan aset kerajaan untuk parti’.

Status tersebut disertakan beliau bersama tangkap layar media sosial milik seorang aktivis politik yang memuat naik coretan dan gambar ‘Mesyuarat Berkelompok Cawangan-cawangan Umno Bahagian Hulu Selangor di MRSM Kuala Kubu Baharu yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno’.

“Hebat dia berbohong, mana dia beli kebolehan itu ye? Reformasi!” tulis Ahmad Fadhli selaku juga Ahli Parlimen Pasir Mas dipercayai sinikal kepada seorang pemimpin tertinggi PKR yang video mengenai ucapan itu tular di media sosial.

Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden dalam pada itu berkata, penggunaan jentera kerajaan untuk kepentingan parti politik menjadi salah satu sebab utama Umno ditolak oleh pengundi.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, puluhan tahun Umno bertapak dalam kalangan masyarakat Melayu, bahkan majoriti besar penjawat awam menyokong perjuangan parti itu satu ketika dahulu. 

“Namun, apabila Umno mula memperalatkan agensi serta jentera kerajaan untuk kepentingan dirinya, maka sedikit sebanyak berlaku protes dalam kalangan penjawat awam sehingga akhirnya majoriti mereka tidak lagi memilih Umno di dalam pilihan raya yang lalu. 

“Tak perlu disebut satu persatu data-data tersebut. Cukup dengan dilihat pada angka undi awal dan jumlah undi di tempat-tempat majoriti pengundinya adalah penjawat awam, termasuk di Parlimen Putrajaya sendiri. Majoritinya Umno kalah, PERIKATAN NASIONAL (PN) yang menang. 

“Berbeza dengan PAS. PAS sangat menghormati fungsi dan bidang kuasa penjawat awam,” ujar beliau menyandarkan keterangannya itu kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai PAS.

Menurutnya, dalam konteks Negeri Kedah, penjawat awam dikenali KCS begitu dihormati bidang tugas dan kuasa mereka oleh PAS, termasuk penjawat awam Persekutuan di Kedah.

Jelas Afnan, di negeri itu walaupun sudah 4 tahun PAS bersama PN menjadi Kerajaan Negeri Kedah, tidak pernah sekalipun menggunakan jentera Kerajaan Negeri untuk kepentingan politik kepartian. 

“Selepas PRN tahun lalu, ada seorang pesara KCS berpangkat tinggi beritahu, sepanjang puluhan tahun beliau bertugas sebagai KCS, inilah kali pertama Wisma Darul Aman tidak menjadi Bilik Operasi Umno untuk gerak kerja pilihan raya. 

“Ya! Wisma Darul Aman yang sepatutnya menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, tempat itulah yang menjadi tempat gerak kerja pilihan raya Umno ketika satu-satu PRU, selama mana Umno menjadi kerajaan di Kedah sebelum ini. 

“Itu yang diberitahu pesara KCS tersebut kepada kami. (Berbeza) PAS dan PN di Kedah beroperasi di premis parti sendiri, menggunakan jentera sendiri, duit sendiri, kenderaan sendiri. 

“Bahkan, kenderaan rasmi MB (Menteri Besar) dan Exco dipulangkan semula kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, sejurus selepas DUN dibubarkan. Begitulah cara PAS membezakan gerak kerja parti politik dengan pentadbiran Kerajaan Negeri,” ujarnya. 

Beliau yang juga Ketua Pemuda PN penuh optimis menyatakan bahawa atas sikap sebegitulah, maka PAS diberi mandat yang amat besar di dalam PRN15 lalu di mana menang 33 daripada 36 kerusi bersama rakan PN iaitu BERSATU dan GERAKAN.

Umno pula tempelaknya, dihukum dengan dikuburkan tanpa batu nisan oleh pengundi hingga langsung tiada satu pun kerusi yang menang, sama ada Parlimen ataupun DUN sepertimana juga di Perlis, Kelantan dan Terengganu.

“Umno mati tanpa kerusi, tanpa batu nisan. Orang tak tahu kuburnya di mana. Begitulah harga yang Umno terima, kerana sikapnya yang tidak menghormati penjawat awam, tidak tahu membezakan mana gerak kerja parti, mana gerak kerja pentadbiran Kerajaan. 

“Jadi rosak punah ranah habis semua fungsi asal jentera dan agensi kerajaan. Kini, setelah kembali menjadi Kerajaan Persekutuan, Umno mengulangi semula penyakit yang pernah menjadi punca kekalahan dan kematian mereka. 

“Tak cukup dengan itu, penyakit tersebut telah merebak dengan begitu cepat kepada rakan baik mereka, Pakatan Harapan (PH). Tatakelola sudah jadi tatakelaut. Maknanya, penyakit yang ada pada Umno sudah berjangkit dengan begitu cepat kepada PH, tak sampai 2 tahun pentadbiran. 

“Sebelum ini, Umno mati bersendirian. Kali ini nampaknya Umno dan PH boleh mati bersama. Sehidup, semati. Ini benar-benar perpaduan yang padu. Sama ada mati secara perlahan-lahan, atau mati mengejut, bergantung kepada jenis penyakit yang ada pada mereka. 

“Dalam PRK Kuala Kubu Bharu kali ni, orang Umno yang tak mahu penyakit tu berjangkit, boleh cari ubat. Ubat tu ada pada PN,” ujar beliau menyeru untuk penyakit tersebut dihentikan dari berjangkit. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

- Advertisement -