Pembenihan awan di kawasan sawah terjejas kemarau

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan melakukan pembenihan awan di kawasan sawah padi yang terjejas teruk akibat kemarau berpanjangan.

- Advertisement -

Pengerusi KADA Muhammad Husin berkata, pihaknya telah memaklum kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenai kelulusan berhubung pembenihan awan.

Katanya, pembenihan awan itu akan dilakukan di kawasan yang terjejas teruk iaitu Kota Bharu utara dan selatan membabitkan keluasan 2,000 hektar.

“Kita mempunyai kapasiti awan yang banyak namun tiada hujan dan pembenihan awan akan dapat membantu menangani masalah pengairan sawah ketika ini.

“Kementerian juga bersetuju dan pembenihan awan akan dilakukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secepat mungkin.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan menentukan bila waktu yang sesuai untuk laksanakan kerana ia bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya pada sidang media pada Majlis Makan Colek Bersama Pengamal Media di sini, malam tadi.

Beliau juga berkata, setakat ini kawasan sawah yang mengalami kerosakan seluas 5,600 hektar di Kota Bharu utara, Pasir Puteh, Bachok dan Pasir Mas.

Manakala, daripada jumlah terbabit sebanyak 800 hektar tidak dapat diselamatkan.

“Saya berharap, keadaan cuaca akan terus baik dan proses pembenihan awan dapat dilakukan segera memandangkan sumber air kini sudah kritikal,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2024

- Advertisement -