
KOTA BHARU: Bukan sekadar melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia, sebaliknya PASTI Aula di Jalan Raja Dewa turut berkongsi rezeki dengan golongan asnaf.
Pengerusi PASTI Aula, Hamdan Yusof berkata, pihaknya turut membantu penduduk miskin yang tinggal berdekatan.
Katanya, institusi pendidikan kanak-kanak itu ditubuhkan pada tahun 2018 menjadikan kerja-kerja kebajikan sebagai aktiviti tahunan sejak tiga tahun lalu.
“Ini tahun ketiga kita mengagih sedikit bantuan kepada penduduk miskin. Ia sebagai apa sebagai tanda kesyukuran.
“Guru PASTI juga kita bonus kalau keadaan kewangan mengizinkan,” katanya selepas menyerah sumbangan kepada kira-kira 40 penduduk memerlukan di Lorong Kubor Pauh di sini semalam.
Penduduk terbabit dari Kampung Kubor Beka, Lorong Che Majid, Jalan Raja Dewa dan Kampung Limau Manis mendapat sumbangan barangan keperluan dan wang tunai.
Hamdan yang juga Ketua PAS Cawangan Wakaf Siku berkata, sejak ditubuhkan pada 2018 sambutan penduduk menghantar anak ke PASTI semakin meningkat setiap tahun.
“Ketika ditubuhkan terdapat 15 murid dan sekarang meningkat kepada 140 orang. Ada juga kita terpaksa tolak sebahagian permohonan ibu bapa kerana kekurangan tempat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2024











