
KEMAMAN: TDM Berhad (TDM) dengan kerjasama Kelab Kebajikan Amal Infitah Kemaman Terengganu menganjurkan program Ramadan Prihatin bersama 400 asnaf daerah di Dewan Sivik Kampung Air Putih, di sini, semalam.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, bertepatan dengan lebaran Syawal yang bakal tiba, TDM mengambil inisiatif menyantuni asnaf Kemaman membantu 400 keluarga golongan asnaf terpilih dengan jumlah sumbangan sebanyak RM60,000 meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan Air Puteh.
Katanya, asnaf terpilih menerima bantuan berupa barangan asasi dan wang tunai.
“Hari raya merupakan hari yang bahagia namun buat mereka yang kurang berkemampuan, hari raya juga boleh menimbulkan kegelisahan kerana pada waktu perayaan, pelbagai urusan memerlukan wang.
“Sumbangan ini secara tidak langsung dapat menyemarak dan memeriahkan lagi sambutan Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurutnya, program yang dilaksanakan itu adalah salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bertujuan untuk mendekati dan menyantuni orang ramai.
“Kami tidak hanya beroperasi untuk mencapai kecemerlangan perniagaan, tetapi juga untuk memberikan impak positif kepada masyarakat sekeliling terutamanya tempat kami beroperasi,” katanya lagi.
Tambahnya, TDM sebuah syarikat berlatar belakang sekuriti patuh syariah dan sangat komitmen serta bertanggungjawab terhadap komuniti.
“Kami sentiasa berusaha dalam memberikan nilai, kualiti, dan kecemerlangan kepada semua pihak yang berkepentingan.
“Usaha ini adalah sebagai sokongan kepada kerajaan negeri bagi memastikan bahawa setiap rakyat Terengganu memperoleh kemajuan dan kesejahteraan yang lebih baik, pembangunan negeri secara lestari dan komprehensif berpandukan model pembangunan Islam selaras dengan matlamat PITAS 2030,” katanya.
Jelas beliau, TDM menyokong usaha kerajaan negeri pada pelan tindakan teras strategik 7 iaitu keterangkuman kebajikan rakyat dan peningkatan kedayaan wanita.
Katanya, teras itu menyasarkan kepada pembangunan insan dan memberi tumpuan menjadikan Terengganu sebagai ‘Negeri Berkebajikan’ berpaksikan rakyat (citizen-centric), dengan memperkukuhkan komuniti di peringkat kampung melalui JPKK untuk pembangunan ekonomi dan sosial.
“Kami sedar bahawa masih wujud sebilangan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian.
“Kami mengambil peluang berkongsi rezeki kurniaan-Nya dengan harapan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan-golongan yang terkesan dengan konsep, ‘yang sedikit, sama sedikit, Yang banyak, sama banyak’ agar semua saling merasa rezeki yang ada,” ujarnya.
Beliau berharap semoga inisiatif kebajikan komuniti itu akan lebih banyak usaha ke arah kebaikan di masa hadapan.
Pengurusan TDM dan ladang serta kilang kompleks Kemaman turut hadir menjayakan program. – HARAKAHDAILY 4/4/2024











