
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Meteorologi berhubung cadangan pembenihan awan memandangkan kemarau agak panjang di Kelantan sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, pihaknya dimaklum kemarau mungkin berpanjangan sehingga Julai hadapan.
Menurut beliau sekiranya perkara itu benar-benar berlaku akan menyebabkan sumber air akan susut dan kering.
“Fenomena el-Nino turut memberi kesan kepada aktiviti pertanian. Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) juga mengekstrak sumber air mentah dari bawah tanah sebelum diagih kepada pengguna.
“Keadaan panas dan tanpa hujan dalam tempoh yang panjang menyebabkan sumber air semakin berkurang.
“Kita tunggu perkembangan lanjut sama ada perlu lakukan pembenihan awan atau sebaliknya,” katanya di sini.
Dr Izani turut menasihatkan orang ramai supaya berjimat cermat menggunakan air dan tidak mendedahkan diri dalam cuaca panas kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan. – HARAKAHDAILY 4/4/2024











