
PUTATAN: “Allah masih memberi peluang buat kita untuk melakukan kebaikan pada bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan,” kata Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sabah, Dr Afifi Saffudin.
Menurutnya, banyak amal kebaikan yang boleh dilakukan antaranya solat sunat, bacaan al-Quran dan bersedekah.
“Membantu asnaf di bulan Ramadan ini juga merupakan kebaikan yang sangat digalakkan untuk berkongsi rezeki.
“Kami berharap dengan sumbangan hasil kutipan daripada masyarakat ini dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya dalam Majlis Penyerahan Bakul Ramadan di Masjid Al-Firdaus Kampung Sri Pandan, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, PAS akan terus memperbanyakkan program kebajikan seperti itu untuk bertemu dengan masyarakat.
Menurutnya, itulah konsep yang dibawa oleh PAS iaitu Islam rahmatan lil alamin.
Pada masjli itu, seramai 20 orang dalam kalangan asnaf, warga emas dan ibu tunggal telah menerima sumbangan bakul Ramadan seperti beras, telur, bihun, tepung dan barang keperluan asas yang lain.
Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS Putatan, Ustaz Muhammad Akmal Othman, penasihat dan pengerusi masjid, Ustaz Awaluddin Nasution dan Yasir Awaluddin serta Ketua PAS Cawangan Sri Pandan, Misbahuddin Ridha. – HARAKAHDAILY 20/3/2024











