Imam, jemaah tidak sangka MB turut berbuka puasa

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengimamkan solat Isyak dan tarawih di Masjid Al-Atiq.
- Advertisement -

MERBOK: Kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berbuka puasa di Masjid As-Syakirin, Singkir Laut, mengejutkan semua yang ada di situ termasuk imam.

- Advertisement -

Masing-masing seperti tidak menyangka, pemimpin nombor satu Kedah itu sanggup hadir berbuka puasa di masjid kampung berkenaan, semalam.

Kehadiran Sanusi Bersama isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh dan anak-anak ke situ sebenarnya tidak dimaklumkan terlebih dahulu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali, ADUN Bukit Selambau, Ustaz Azizan Hamzah dan ADUN Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad, hanya dihubungi beliau ketika hampir masuk waktu berbuka puasa.

Beliau berbuka dengan apa yang disediakan oleh pihak masjid, kemudian solat Maghrib berjemaah bersama ahli-ahli kariah.

Tidak hanya di situ sahaja, Menteri Besar berjiwa rakyat itu meneruskan misi ziarah ke masjid seterusnya, Masjid Al-Atiq.

Bukan sahaja mengejutkan tuan imam dan ahli jemaah lain, sebaliknya mereka masing-masing teruja apabila Sanusi mengimamkan solat Isyak, tarawih dan menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersalaman dengan penduduk sebelum berbuka puasa di Masjid As-Syakirin.

Pastinya peluang yang ada di hadapan mata, tidak dilepaskan ahli jemaah, bertemu, bersalaman dan bergambar sebagai kenang-kenangan.

Kehadiran beliau ke Merbok, seolah-olah ‘tidak sah’ sekiranya tidak berkunjung ke Kedai Rojak Kg Bujang.

Seperti Ramadan tahun lalu, beliau diberi peluang tuan empunya kedai berkenaan untuk membancuh rojak sendiri.

Terjah Ramadan ini merupakan amalan yang telah dilakukan beliau sejak Ramadan tahun lalu.

Tanpa pemakluman tentulah tanpa sebarang sambutan rasmi, Sanusi dilihat selesa menikmati juadah berbuka puasa serta moreh bersama rakyat. – HARAKDAILY 18/3/2024

- Advertisement -