
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengucapkan tahniah kepada Majlis Daerah Jeli dan seluruh warga daerah itu di atas penganugerahan 10 Bandar Paling Bahagia tahun 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, jajahan Jeli menduduki tempat kedua dalam anugerah itu selepas Cameron Highland.
Ketika dihubungi beliau memberitahu, penganugerahan itu dibuat sempena Sambutan Hari Kebahagian Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 yang dianjurkan oleh PLANMalaysia.
“Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga kerja Majlis Daerah Jeli dan seluruh warga daerah Jeli di atas penganugerahan ini.
“Anugerah Bandar Paling Bahagia dinilai berdasarkan pencapaian pengukuran Indeks Kebahagiaan melalui Program Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar, Luar Bandar Malaysia (MURNInets),” katanya.
Penganugerahan itu juga katanya, dibuat sempena Sambutan Hari Kebahagian Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 yang dianjurkan oleh PLANMalaysia. Yang Dipertua Majlis Daerah Jeli, Mohd Shaifudeen Md Salleh menerima anugerah tersebut. (Foto atas)
Hilmi yang juga ADUN Guchil berharap semoga dengan penganugerahan berkenaan menjadi pembakar semangat untuk warga kerja jajahan itu lebih cemerlang pada masa akan datang.
Sementara itu, tempat ketiga disandang Jerantut, diikuti Kuala Terengganu, Kulai, Lenggong, Melaka Bandaraya Bersejarah, Petaling Jaya, Port Dickson Negeri Sembilan dan Rompin. – HARAKAHDAILY 17/3/2024











