
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjelaskan video pantai kotor di Pantai Bisikan Bayu dan Pantai Dalam Rhu di Pasir Puteh yang ditular beberapa hari lalu merupakan video lama.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Kamaruddin Md Nor berkata, video berkenaan sengaja ditularkan pihak tidak bertanggungjawab bagi mencemarkan imej Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024).
Katanya, video asal difahamkan dirakam seorang pempengaruh yang mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika aktiviti membersihkan pantai.
“Apa yang kami tahu, ada pihak lain pula memasukkan semula video lama itu seolah-olah mahu mencemarkan nama baik individu berkenaan,” katanya di sini.
Sebelum ini Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim meminta pihak berkuasa tempatan memberi perhatian isu pantai kotor sempena TMK2024.
Kamarudin berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan semula di pantai yang didakwa kotor dan ternyata gambaran dalam video terbabit tidak berasas.
Menurutnya juga program TMK 2024 turut mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) di mana setiap Majlis Daerah mengadakan gotong-royong membersih kawasan tumpuan orang ramai di setiap jajahan. – HARAKAHDAILY 15/3/2024











