
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memilih tema Semarak Cinta Palestin pada Madinah Ramadan tahun ini sebagai tanda sokongan penuh terhadap perjuangan dan penderitaan umat Islam negara itu yang kini masih diserang tentera rejim zionis Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, berkata umat Islam di negara ini termasuk Kelantan dapat menunaikan solat tarawih di bawah khemah berhawa dingin atau di masjid dan surau yang selesa berbanding di Palestin.
Katanya, mereka hanya menunaikan solat tarawih di malam gelap yang sejuk, sujud di atas tanah atau pasir di bawah bangunan yang runtuh akibat dibom tentera Israel.
“Kemungkinan bersahur tanpa makanan dan berbuka puasa juga tanpa makanan,” katanya.
“Inilah penderitaan yang dilalui mereka yang amat wajar kita simpati dan kenang nasib mereka sampai bila-bila,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Madinah Ramadan di sini malam tadi. Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Mohd Nassuruddin Daud.
Sehubungan itu, Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, berkata pihaknya akan mengadakan Jelajah Cinta Palestin bersama imam-imam Madinah Ramadan termasuk Sheikh Hisyam Abdel Bari ke masjid di seluruh jajahan dalam negeri ini.
Katanya, jelajah itu diadakan untuk menyatakan cinta dan kasih pada umat Islam Palestin yang masih dizalimi Israel hingga kini.
“Kita buat Jelajah Cintakan Palestin bersama imam-imam Madinah Ramadan yang akan disertai Sheikh Hisham ke masjid-masjid seluruh jajahan untuk mempromosikan Madinah Ramadan di sini.
“Pada masa yang sama juga program itu diadakan untuk menceritakan pada orang ramai tentang penderitaan serta suasana semasa rakyst Palestin yang dizalimi serta tidak mendapat pembelaan dari negara seluruh dunia,” sambungnya lagi.
Sementara itu, khemah Madinah Ramadan dihiasi dengan bendera Palestin yang berwarna hijau, merah, hitam dan putih, selain meletakkan bendera negara berkenaan sebagai hiasan di bahagian luar khemah.
Bendera negara itu juga dilihat turut berkibar di luar khemah Madinah Ramadan.
Pasu bunga dililit dengan kain berwarna putih menghiasi khemah, termasuk penghadang antara ruang solat muslimin dan muslimat turut diletakkan warna-warna daripada bendera Palestin. – HARAKAHDAILY 15/3/2024











