64 anak yatim, asnaf diraikan

Para penerima gembira kerana mendapat pakaian baharu untuk hari raya ini.
- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Seramai 64 anak-anak yatim dan asnaf diraikan pada Majlis Iftar Perdana 2024 di Mydin Taman Batik, di sini, semalam.

- Advertisement -

Jumlah itu melibatkan 40 orang daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, 17 daripada rumah anak-anak yatim Padang Terap, manakala enam orang dari daerah Kuala Muda.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah ketika merasmikan majlis itu berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada pengurusan Mydin Taman Batik kerana berjaya mengadakan program itu di bulan yang mulia ini.

Selain itu, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada penganjur kerana memilih 40 orang anak yatim dan asnaf dari DUN beliau.

“Tahniah kepada pihak Mydin Taman Batik kerana telah memulakan bulan Ramadan 2024 dengan program yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat selain meraikan anak-anak yatim dan miskin.

“Saya sendiri bawa bersama 40 orang anak-anak asnaf dari DUN Jitra, selain menghiburkan hati mereka, secara tidak langsung mengenalkan mereka erti Ramadan dan Syawal.

“Rasa bahagia apabila melihat wajah ceria dan senyuman yang terukir pada anak-anak ini. Masing-masing dapat baju dan kasut raya,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu lagi.

Terdahulu, 64 anak yatim dan asnaf itu masing-masing menerima set lengkap pakaian raya seperti baju melayu, sampin, songkok, baju kurung dan tudung bagi perempuan.

Set lengkap pakaian raya itu bernilai RM120 setiap seorang juga ditaja oleh Mydin Taman Batik.

Turut hadir, Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Dato’ Dr Saduruddin Gulam Husen, Pengarah Eksekutif Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin dan Pengurus Cawangan Mydin Taman Batik,  Mohd Fauzi Rashid.

Justeru Haim menyeru agar bersama-sama memberi sokongan kepada perniagaan Mydin, selain sebagai tanda keprihatinan kepada perniagaan orang Islam, ia juga banyak membantu golongan asnaf menjelang hari perayaan mahupun ketika permulaan persekolahan.

Dalam pada itu, kegembiraan di wajah para penerima dari DUN Jitra lebih terserlah apabila diberi peluang menaiki bas yang disediakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ke destinasi berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/3/2024

- Advertisement -