
KOTA BHARU: Tidak ramai yang mampu menikmati juadah disediakan chef hotel untuk berbuka puasa. Namun, hari ini Hotel Jewels mengagihkan 400 pek bubur pulut hitam kepada orang ramai.
Pengurus Hotel Jewels, Muhammad Azrin Zainal Abidin berkata, bubur berkenaan dimasak oleh kakitangan bermula jam 10 pagi yang diketuai Chef Rosmandi.
Katanya, sempena Ramadan Hotel Jewels berharap dapat mengekalkan tradisi pembahagian bubur manis atau bubur lambuk pada masa akan datang.
“Tahun ini kami memilih bubur pulut hitam berbanding kebiasaan bubur lambuk, apa lagi bubur berkenaan merupakan hidangan pemanis Ramadan.
“Program itu diadakan sebagai tanda penghargaan kami kepada orang ramai termasuk petugas Hotel Jewels bagi merapatkan hubungan antara satu sama lain,” katanya selepas mengagihkan bubur tersebut petang ini.
Pengagihan bubur pulut hitam itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor di pekarangan hotel berkenaan. (Foto atas)
Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan), Pusat Penerangan Negeri Kelantan (TIC), Mohd Zaki Ismail.
Azrin juga berkata, program itu bukan sahaja menunjukkan kesepakatan masyarakat, malah memupuk sifat bekerjasama dan bersedekah. – HARAKAHDAILY 13/3/2024











